Isnin, 10 Jun 2013

BlackOut 505 Sabtu Ini DiTangguhkan...!!

Himpunan Black505 yang dijadualkan pada Sabtu ini ditangguhkan ke 22 Jun kerana berlaku pertindihan dengan dua program yang diadakan di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada tarikh asal.

Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli berkata, penundaan perhimpunan yang sepatutnya dijadualkan pada Sabtu ini dibuat selepas mengambil kira rayuan penganjur program lain yang terlebih dahulu mempunyai program di lokasi dan tarikh yang sama.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak akan berlaku lagi sebarang perubahan tarikh selepas ini walau apa jua alasan diberikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk melengah-lengahkan permohonan mengadakan perhimpunan di Padang Merbok.

"Ini adalah ketetapan akhir kita. Tidak akan ada sebarang perubahan selepas ini tidak kira apa alasan yang diberikan DBKL," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Isnin.

Selain itu Mohd Rafizi yang juga Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa terdapat dua program yang akan diadakan di padang tersebut pada Sabtu ini iaitu Karnival Kitar Semula dan majlis perkahwinan yang telah membuat permohonan lebih awal.

Beliau menegaskan permohonan untuk menggunakan padang tersebut pada Sabtu depan telah dikemukakan pada Jumaat lepas.

"Oleh itu, tiada lagi alasan untuk DBKL melengah-lengahkan permohonan ini. Hormati hasrat rakyat Wilayah Persekutuan yang ingin berhimpunan secara aman di padang tersebut.

"Kita juga dapat pengesahan bahawa semasa permohonan dibuat pada 7 Jun lalu, tidak ada mana-mana pihak yang membuat permohonan mengadakan acara di Padang Merbok pada Sabtu depan," katanya.
Beliau berkata notis untuk mengadakan perhimpunan pada tarikh tersebut akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Selasa iaitu dalam tempoh 10 hari seperti yang dituntut Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan