Sabtu, 5 Jun 2010

Kapal tajaan Perdana Global Peace Organisation (PGPO) MV Rachel Corrie akan meneruskan matlamat untuk menyampaikan bantuan kepada penduduk di Gaza melalui laut sekalipun Mesir membuka jalan darat menerusi sempadan Rafah.

Penasihat pertubuhan Datuk Mukhriz Mahathir berkata tindakan Mesir itu mungkin hanya akan membantutkan usaha menghantar bantuan tersebut.

"Gaza telah mengalami sekatan selama tiga tahun. Kalau sempadan itu nak dibuka dah lama patutnya dah dibuka. Saya lihat ini mungkin sebagai satu taktik kononnya nak mengurangkan alasan kenapa kita perlu hantar melalui laut," katanya kepada pemberita selepas perasmian ESQ Training Grand Event 2010, di sini hari ini.

Mukhriz yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata misi juga tidak akan terpedaya dengan kenyataan Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden supaya bantuan itu diserahkan kepada Israel untuk dihantar ke Gaza.

Ini kerana katanya alasan bahawa Israel bimbang dengan isi kandungan yang dibawa kapal itu adalah tidak munasabah memandangkan kesemuanya telah diperiksa.

"...penumpang semuanya aktivis keamanan dan kandungan kapal itupun telah diperiksa sebelum belayar dan kita pastikan tidak ada sebarang bentuk senjata di atas kapal tersebut.




"Kita nak supaya Israel tidak berdolak-dalih dan membenarkan kapal ini belayar sampai ke destinasinya tanpa sebarang gangguan," katanya.

Biden ketika ditemubual dalam rancangan "Charlie Rose" oleh stesyen penyiaran Amerika Public Broadcasting Service Rabu lepas mempertahankan tindakan Israel yang menahan kapal menuju ke Gaza bagi mencegah penyeludupan senjata.

Biden juga berpandangan tidak ada keperluan untuk berkeras supaya bekalan itu disampaikan terus kepada penduduk Semenanjung Gaza.

Ditanya mengenai pendirian AS itu, Mukhriz berkata AS sepatutnya mengambil kesempatan tersebut untuk memperbetulkan keadaan.

"Kita tahu Israel telah melanggar lebih 80 resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sampai ke hari ini, maksudnya ia langsung tidak menghormati undang-undang dunia.

"Oleh kerana itu negara seperti ini perlu perlu diasingkan maksudnya tak boleh disokong supaya tak boleh berlaku sesuka hatinya," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan