Rabu, 28 Julai 2010

"Hukuman" Menanti Guru..??


Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub mahu kerajaan mengeluarkan satu garis panduan yang jelas berhubung cadangan membenarkan pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 melibatkan diri dalam politik.

Ini katanya bagi memastikan golongan itu mendapat kebebasan yang sepenuhnya tanpa sekatan tertentu.

Beliau berkata, jika tidak ada garis panduan yang jelas, keputusan membenarkan pegawai pendidikan dalam perkhidmatan siswazah melibatkan diri dalam politik hanya akan dilihat sebagai strategi kerajaan untuk meraih kemenangan pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

"Kita tak mahu langkah ini sekadar dijadikan strategi BN (Barisan Nasional) untuk dapatkan sokongan guru yang ramai di seluruh negara untuk menang pada pilihan raya umum akan datang.

"Jadi kami berharap KSN (Ketua Setiausaha Negara) dapat keluarkan garis panduan mengenai mekanisme pelaksanaannya dengan segera," katanya kepada mStar Online di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan kerajaan meminda Peraturan 21(2) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 bagi membolehkan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 hingga DG48 untuk bertanding, dilantik atau memegang jawatan dalam mana-mana parti politik berkuat kuasa 1 Ogos ini.

Bagaimanapun kebenaran itu tidak membabitkan Pengetua dan Guru Besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi kerajaan.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, apabila kerajaan membenarkan pegawai-pegawainya bergiat aktif dalam politik, ia harus bersikap adil tidak kira parti mana yang menjadi pilihan mereka.

"Kita bimbang kemungkinan kerajaan akan menggunakan mekanisme halus atau tersembunyi sekiranya guru-guru ini memilih untuk menyokong Pakatan Rakyat.

"Jangan pula nanti ada guru yang terima 'hukuman' seperti sekatan kenaikan pangkat ataupun dipindahkan kalau mereka sokong kita," katanya.

Sementara itu Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad berkata, pihaknya berharap tiada unsur pilih kasih terhadap kebenaran yang dibenarkan untuk guru aktif berpolitik.

"Sekiranya ada unsur pilih kasih maka kebenaran ini tidak ada apa-apa makna untuk penyuburan demokrasi di negara ini.

"PAS yakin guru-guru yang sudah terdidik dengan moral yang tinggi dan tahu tentang tugas mereka walaupun mereka aktif berpolitik, mereka sudah diasuh supaya amanah dengan kerjaya mereka," katanya.

3 ulasan:

  1. Macamana kalau kami (guru) jadi wakil calon atau berceramah untuk PR?....

    BalasPadam
  2. Lepas ni tak le juragan kene tuko2 lagi...hehe
    Sekarang ni pun dah ade cikgu2 yg aktif , berceramah atas pentas PR,contohnya cikgu osman maseri mantan ydp Tapah..dah jenuh kene tuko2,tapi istiqamahnya tak pernah luntur.
    Aku tabik dengan dia,lepas ni jadi calon le kat Tapah ni....
    Guru2 sekarang macam hebat beno tapi dengo ceramah nyorok celah pokok...mane yg main sorok2 tu le yg selalu kene tuko...yg buat muka selamba tu sure org tak kisah..

    BalasPadam
  3. ayuh guru2...jangan takut...takut pada mahkluk apa hukumnya...jom berjuang

    BalasPadam