Seorang wanita terbunuh selepas motosikal yang ditungganginya merempuh seekor babi hutan yang melintas di kawasan kebun getah di Jalan Kampung Maran, Kati, di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Ghaffar Muhammad berkata, mangsa Yeoh Eng Mooi, 46, yang cedera parah di kepala meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kangsar.
"Kejadian berlaku kira-kira jam 4.20 pagi ketika mangsa bersama suaminya menaiki motosikal berasingan dalam perjalanan dari rumah ke kebun untuk menoreh getah," katanya.
Abdul Ghaffar berkata, Eng Mooi kemudian merempuh seekor babi hutan yang tiba-tiba melintas di hadapan menyebabkan mangsa tercampak di atas jalan.
Katanya, suami mangsa yang mendengar bunyi dentuman dari belakang, berpatah balik dan mendapati isterinya terbaring dengan berlumuran darah di kepala, lalu mengejarkannya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Mangsa disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan