Setiausaha politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin, berkata tidak ada peruntukan yang menyatakan bahawa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri perlu dibuat dalam tempoh masa tertentu.
Beliau berkata kerajaan negeri mengadakan proses pemilihan bagi jawatan tersebut pada 27 Nov lepas dengan menubuhkan sebuah panel temuduga sejajar dengan nota amalan.
"Panel Pemilihan telah menyenarai pendek calon-calon (bagi mengisi jawatan Setiausaha Kerajaan) dan Menteri Besar pada 17 Dis lepas mempersembahkan nama-nama tersebut untuk pertimbangan Sultan Selangor.
"Meskipun penubuhan panel ini bukanlan satu kemestian, Kerajaan Selangor mahu menyemai satu tatacara yang baik yang mana pelantikan jawatan tinggi perlu melalui proses telus, bebas dan bertanggungjawab. Menteri Besar tidak mahu menggunakan kuasa penentu untuk memilih pegawai tinggi kerajaan," kata Faekah dalam kenyataan di sini, Rabu.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mohamad Munir semalam yang dilaporkan berkata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim lewat menghantar senarai nama tiga calon yang disenarai pendek bagi mengisi kekosongan jawatan itu. Abdul Khalid sebelum ini dilaporkan berkata pelantikan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru belum muktamad kerana beliau tidak pernah dimaklumkan mengenainya.
Kenyataan itu dikeluarkan ekoran pengumuman pelantikan Mohd Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri berkuatkuasa 1 Jan ini oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
Faekah juga rasa kesal dengan perkembangan melibatkan isu pelantikan ini dan berpendapat ia adalah tindakan yang didalangi individu tertentu yang mahu menggunakan istana demi kepentingan politik mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan