Selasa, 21 Disember 2010

Kenyataan "Saksi" Pertama Melihat Kemalangan Bas Cameron Highland..



“Saya melihat bas persiaran itu terhoyong-hayang dan laju turun bukit membelok selekoh tajam. Selepas itu, bas dua tingkat itu terus langgar konkrit pembahagi jalan sebelum terbalik ke dalam longkang dengan bahagian bumbung menghentam batu bukit,” kata Monat Rahen, antara saksi terawal yang melihat kemalangan itu di Kilometer 15 di sini, pagi semalam.
Monat, 19, berkata, dia menyaksikan kejadian itu ketika bersama seorang lagi rakan menaiki kereta dalam perjalanan menghala ke Cameron Highlands.

“Kami lihat ada penumpang tercampak keluar dari bas, termasuk kanak-kanak dan warga emas. Keadaan menjadi cemas apabila kebanyakan penumpang cedera dan menjerit meminta tolong,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Seorang lagi saksi, Muhammad Shafwan Mohd Nan, 17, berkata ketika tiba di kawasan kemalangan itu, dia melihat ada seorang warga emas berusia lingkungan 60-an sudah tercampak keluar dari kenderaan itu.

Dia juga melihat mayat bergelimpang atas jalan raya, termasuk ada kanak-kanak terbaring dalam longkang dipercayai tercampak dari bas serta beberapa mangsa yang cedera dan berlumuran darah keluar dari bas yang terbalik.

“Saya bersama tiga lagi rakan lain dalam perjalanan bercuti di Cameron Highlands menaiki bas henti-henti bersama lebih 10 penumpang lain. Pemandu bas kami terpaksa menghentikan kenderaan selepas laluan itu ditutup. Saya dan penumpang lain berusaha membantu, tetapi keadaan terlalu ngeri.
“Tangisan dan jeritan meminta tolong kedengaran dari bas yang terbalik, selain kelihatan banyak darah di bahagian tempat duduk. Sejurus kemudian, pasukan penyelamat tiba dan saya melihat ada mayat dibawa keluar dari bas berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Ipoh, Ahmad Aminudin Abdul Rahim, berkata ketika tiba di tempat kejadian kira-kira jam 12.10 tengah hari, beliau melihat ada beberapa tubuh bergelimpangan di jalan raya dan ada yang terhumban dalam longkang, tetapi tidak dapat mengesahkan sama ada mangsa sudah meninggal dunia.

Bagaimanapun, katanya, kebanyakan kepala dan tubuh cedera parah, manakala semua mangsa dalam bas tersepit di tempat duduk.

“Saya ada nampak seorang kanak-kanak dalam bas dan mendengar bunyi orang mengerang kesakitan, jadi kami berusaha menyelamatkan nyawa mereka,” katanya.

Beliau berkata, mangsa pertama yang cedera dikeluarkan pada jam 12.13 tengah hari, manakala, mangsa terakhir pada jam 2.55 petang, manakala sebahagian besar mangsa duduk di tingkat atas bas berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan