Rabu, 9 Februari 2011

Fuhh...DSA Ibrahim Kini Menjadi Penyanyi..??

DSAI ketika melancarkan Album Teratak

PETALING JAYA: Penasihat Parti Keadilan (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pertama kali menyumbangkan suara dalam sebuah lagu berjudul Teratak yang merupakan sebuah projek amal Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo-Burne Loh dan kumpulannya, d*Crew.

Menurut Anwar, walaupun hanya memainkan peranan kecil dalam projek itu, beliau amat gembira kerana ia merupakan inisiatif untuk menarik minat golongan muda.

“Saya melakukannya sebab Gwo-Burne desak. Saya sangat tidak selesa tetapi cuba berlatih di kamar mandi. Memang saya gemarkan muzik seperti Elvis Presley dan sebagainya, tetapi ini serius.

“Apabila Gwo-Burne bawa saya ke studio, saya mendapati bahagian saya paling susah! Tetapi saya enjoy dan cuba menjiwai lirik sebaik mungkin. Ada sedikit perubahan dibuat agar lebih sesuai dengan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran album Teratak di Subang Jaya, Selasa lalu.

Album Teratak merupakan sebuah projek amal bagi mengumpulkan dana membantu meningkatkan prasarana di kawasan penempatan pengundi berpendapatan rendah.

Sementara itu, Gwo-Burne berkata, apabila pertama kali mendengar suara Anwar, dia hampir menitiskan air mata kerana terharu dengan nyanyian beliau yang bernada sayu.

Katanya, menulis lirik untuk Ketua Pembangkang itu adalah satu cabaran baginya terutama apabila Anwar mengakui lebih gemarkan lagu berentak rancak.

“Idea selalunya datang apabila saya berada dalam keadaan murung, suatu masa dahulu saya meluahkan emosi menerusi lagu. Sekarang, saya menggunakan ‘kelebihan’ itu untuk mendekati masyarakat dengan cara baru,” kata Gwo-Burne yang menyasarkan kutipan RM200,000 hingga RM300,000 untuk jualan amal Teratak.

Dalam pada itu, beliau juga memberitahu projek Teratak ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Pakatan Rakyat.

“Semua orang mengadakan majlis makan malam atau majlis amal dengan menjual meja untuk mengumpulkan dana. Ini dipanggil ‘politik baru’ tetapi sejak dahulu lagi sudah ramai orang buat, akhirnya saya jual meja pada dia, dia jual meja pada saya.

“Disebabkan saya masih baru (dalam politik) saya mahu cuba sesuatu yang lain untuk menjana lebih dana sumbangan kepada golongan miskin dalam kawasan Parlimen kami,” jelasnya yang menulis gubahan solo istimewa untuk Anwar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan