Rabu, 2 Februari 2011

Mayat Pegawai Penyiasat Dengan Kesan Tembakan Ditemui..


Seorang pegawai penyiasat berpangkat Sarjan ditemui mati bersebelahan keretanya beserta satu kesan tembakan di kepala di satu kawasan tanah lapang di Jalan Mahang, Puncak Alam 2 di sini, Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supt Mohd Taib Ahmad berkata Mat Saini Omar, 50, merupakan pegawai penyiasat dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam dan sedang bertugas ketika kejadian.

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang ramai kira-kira 11.45 pagi berhubung penemuan mayat yang berlumuran darah dan tersandar di luar kereta Proton Wira itu.

"Turut ditemui di sebelah mangsa ialah sepucuk pistol .38 miliknya dengan salah satu daripada lima butir pelurunya telah digunakan dan barangan peribadi mangsa seperti dompet serta telefon bimbit juga ada bersama mangsa.

"Siasatan mendapati tembakan dilepaskan dari arah kiri kepala mangsa dan ketika mayat mangsa ditemui, bonet serta pintu kiri di tempat duduk penumpang depan terbuka," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Turut ditemui ialah sehelai pakaian seragam polis dan beberapa helai pakaian lain dipercayai milik mangsa yang tergantung di bahagian belakang di dalam kereta itu.

Mohd Taib berkata polis setakat ini mengklasifikasikan kejadian tersebut sebagai kematian mengejut dan sedang menyiasat sama ada terdapat unsur jenayah mengenainya.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat.

Mat Saini yang berasal dari Tanjong Karang telah berkhidmat dengan pasukan polis lebih 25 tahun.

Beliau meninggalkan isteri yang juga kontraktor Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dan empat orang anak. BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan