Isnin, 28 Mac 2011

Politik Minta YB "Mati"..??

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menasihatkan kerajaan BN agar tidak hanya menjalankan projek pembangunan bila ada pilihan raya.

Beliau berkata keadaan itu telah menimbulkan satu kefahaman di kalangan rakyat bahawa untuk mendapat kemudahan asas perlu berlaku pilihan raya di tempat mereka.

"Kita merasakan dukacita bila ada rakyat menunggu-nunggu wakil rakyat mati untuk mudah mendapat kemudahan asas," katanya yang juga ahli parlimen Marang ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2011 (bacaan kali kedua) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau sebelum itu membangkitkan isu kemudahan infrastruktur di beberapa kawasan khususnya pedalaman termasuk di Sabah dan Sarawak yang masih belum diselesaikan kerajaan biarpun sudah lebih 50 tahun memerintah.

Apatah lagi katanya, Sarawak mempunyai hasil negeri yang banyak namun rakyatnya masih dibelengu kemiskinan dan kawasan- kawasannya masih tidak mempunyai kemudahan asas yang lengkap.

"Bila ada pilihan raya kecil barulah diwarwarkan akan diadakan kemudahan-kemudahan.

"Ini pendedahan yang memalukan setelah lebih 50 tahun mencapai kemerdekaan," katanya.

Sehubungan itu beliau tidak mahu rakyat terus diperbodoh kerajaan dan menggesa kerajaan menjalankan tanggungjawab setiap masa dan bukan menunggu pilihan raya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan