Rabu, 16 Mac 2011

Ketakutan Kesan Radiasi Jepun...

Krisis nuklear Jepun semakin meruncing semalam apabila satu lagi letupan hidrogen berlaku ke atas sebuah reaktor ketiga di Fukushima Daiichi yang mengeluarkan radiasi ke udara sehingga merebak ke Tokyo, kira-kira 170 kilometer di selatan loji yang lumpuh akibat gempa bumi mega minggu lalu itu.

Tahap radiasi 20 kali di atas paras biasa di Tokyo pagi semalam, tetapi kerajaan tempatan berkata, tahap itu masih tidak memberi risiko kesihatan kepada manusia.

Perdana Menteri Naoto Kan, merayu penduduk negara itu tidak panik, tetapi memberi amaran wujud risiko tinggi pembocoran selanjutnya akan berlaku.

Bagaimanapun, arah angin mungkin menjadi penyelamat berikutan tiupan kini membawa radiasi itu menuju ke Lautan Pasifik dan tidak ke kawasan padat penduduk di Jepun dan negara Asia lain.

Letupan di loji nuklear Fukushima Daiichi semalam adalah ketiga dalam empat hari – menjadikan krisis itu terburuk sejak bencana di reaktor nuklear Chernobyl di Ukraine pada 1986.

Walaupun berdepan risiko pendedahan radiasi, jurutera di loji Fukushima Daiichi yang berusia 40 tahun itu, berkerja keras untuk menyejukkan reaktor nombor dua yang rosak teruk dengan mengepam masuk air laut ke dalamnya.

Kebanyakan daripada 800 pekerja di loji itu sudah dipindahkan ke tempat lebih selamat dengan hanya 50 pekerja ditinggalkan untuk menangani krisis berkenaan.

Selepas mesyuarat Kabinet tergempar semalam, Kan memberitahu penduduk dalam lingkungan 20 kilometer dari loji Fukushima Daiichi agar tidak keluar dari rumah, menutup tingkap dan tidak menggunakan pendingin udara.

“Walaupun insiden itu amat membimbangkan, saya merayu penduduk supaya tenang,” kata Kan pada sidang akhbar disiarkan secara langsung oleh televisyen tempatan.

1 ulasan:

  1. salam,bagaimana kesan radiasi di jepun pada pakaian bundle yang datanG dari jepun,industri bundle di negara ini amat besar dan kebanyakan bekalan datang dari jepun,adakah selamat digunakan,dan adakah setiap kemasukan bekalan,khususnya kontena bundle yang datang dari jepun,dipantau sepatutnya,diMALAYSIA prospek bundle amat besar,apkah nasib rakyat MALAYSIA,TERIMA KASIH

    BalasPadam