Khamis, 24 Mac 2011

Panass...Johari Pulak Buat "Penafian"..

Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul menegaskan beliau tidak pernah meminta “wang pelincir” RM100,000 daripada “Datuk T” sebagai pendahuluan selepas menonton rakaman video seks yang didakwa membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Isnin lalu.

Malah wakil rakyat itu menegaskan, beliau tidak meminta insentif untuk mengaturkan lima ahli Parlimen PKR yang lain untuk menonton rakaman video seks.

“Taklah RM100,000, kita ahli Parlimen bukanlah lekeh sangat, baik saya minta RM3 juta atau RM4 juta,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Semalam, salah seorang “Datuk T”, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik mendedahkan Johari ada meminta wang “pelincir” berjumlah RM100,000 sebagai wang pendahuluan selepas menonton rakaman video seks itu.

Selain itu, jelas Abdul Rahim, Johari juga meminta wang berjumlah RM1 juta bagi setiap wakil rakyat dari Pakatan Rakyat untuk menonton video seks itu, namun permintaan tersebut ditolak.

“Kami ada tayangkan video seks itu kepada Johari dan beliau mengatakan lelaki dalam video itu adalah Anwar dan minta RM100,000 sebagai pelincir.

“Kemudian beliau minta lagi RM1 juta bagi satu kepala wakil rakyat dari PKR yang beliau bawa, antara enam hingga tujuh orang,” katanya.

Abdul Rahim merupakan salah seorang “Datuk T” yang turut melibatkan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim yang telah menayangkan video seks itu kepada media Isnin lalu di hotel Carcosa Seri Negara.

Pada sidang media hari ini, Johari berkata, beliau tidak banyak bercakap kerana takut akan diperangkap dengan merakamkan percakapan beliau ketika dipertontonkan rakaman itu di Hotel Flamingo Isnin lalu.

“Ketika dipertontonkan, saya tidak banyak buka mulut... ada tanya beberapa soalan, tetapi tidak kata apa-apa (yang lain),” katanya.

Johari berkata beliau ada menyatakan persetujuan untuk membawa lima ahli Parlimen masing-masing dua orang bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan tiga yang selalu membangkitkan isu sosial di Dewan Rakyat.

Mereka ialah Ahli Parlimen Telok Kemang Datuk Kamarul Bahrin Abas, Datuk Rashid Din (Merbok), Azan Ismail (Indera Mahkota), Abdullah Sani (Kuala Langat) dan Amran Bin Ab. Ghani (Tanah Merah).

Kata Johari, beliau memutuskan untuk membawa Kamarul dan Rashid kerana mereka sudah lama mengenali Anwar dan boleh membezakan daripada segi fizikal dan rupa dengan lelaki dalam rakaman video tersebut.

“Yang tiga lain merupakan mereka yang sentiasa membangkitkan isu-isu sosial di Parlimen dan boleh membuat penilaian wajar tentang dakwaan yang dibuat,” kata beliau lagi.

Bagaimanapun Johari berkata Abdul Rahim ada menjanjikan bahawa akan membawa beliau mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno selepas segala berjaya dilaksanakan.

“Tan Sri Rahim ada berkata akan membawa saya untuk bertemu dengan Perdana Menteri dan kesemua soal kewangan akan diambil kira,” katanya lagi.

“Tan Sri Rahim berkata kepada Datuk Shuib, Datuk semua akan diambil kira,” katanya yang turut mempertahankan bahawa apa yang berlaku sekarang sebagai “satu konspirasi.”

Ketika ditanya mengapa beliau dijemput untuk menonton rakaman video itu, Johari berkata, beliau juga masih belum mendapat jawapan.

“Ini soalan yang bagus... isteri saya pun tanya saya mengapa saya dipanggil (tonton video seks),” katanya lagi.

Bagaimanapun jelas Johari, ia kemungkinan kerana beliau rapat dengan kepimpinan Umno.

2 ulasan:

  1. HUBAYA HUBAYA DEPA KATA ! PASAI APA ? PASAI MANGKUK SEKOK ANAK TAMBI BESAK NI KALU TENGOK TIANG KA ,POKOK KA ATAU APA SAJA KALU ADA LOBANG SIAP LA !

    BalasPadam
  2. Tambi ni lupa bahawa ajal dan maut boleh didatang oleh Allah tanpa bertangguh. Ingat mereka yang membuat aniaya (termasuk acara fitnah bagi tujuan balas dedam) akan menerima satu daripada sebelas azab masa masih hidup. Selebihnya akan diterima setelah masuk kubur sehingga hari kiamat. Tak percaya?

    BalasPadam