KENYATAAN penuh kontroversi Negarawan Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohammad yang menggesa rakyat Malaysia supaya berfikir dengan penuh hikmah sebelum mengundi pada PRU12 lalu dan menolak jika calon itu hanya ‘tunggul kayu’ dan ‘rasuah’ sekalipun mereka mewakili BN; sehingga hampir menggelincirkan BN daripada tampuk kuasa, jika mereka tumpas di Sabah dan Sarawak.
Kini pilihanraya DUN Sarawak akan berlangsung pada 16 April dan bagaimana Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mahu memastikan calon yang bakal diturunkan membawa panji-panji BN bukan ‘tunggul kayu’ balak yang telah ditebang ‘kroni’ Taib Mahmud menjelang penamaan calon pada 6 April ini.
Ketiadaan parti pembangkang yang kuat di Sarawak,menyebabkan walaupun jelas dan terang kelemahan yang begitu ketara di kalangan ADUN dan Ahli Parlimen BN, menyebabkan rakyat semakin bingung kerana pemimpin ‘Parti Nyamuk’ mula berdengung dan pemimpin ‘Parti Katak’ mula melompat dari satu parti ke satu parti untuk mendapat jaminan menyambar habuan ketika pilihanraya di ambang pintu.
Natijahnya, rakyat Sarawak mungkin terpaksa memilih ‘Tunggul Kayu’ yang sudah mula mereput dan tidak berguna melainkan untuk tempat cendawan tumbuh, sehingga nasib mereka akan terus ‘bercendawan’ selama lima tahun akan datang; menunggu janji ‘Tunggul Kayu’ reput untuk berkhidmat kepada rakyat.
Faktor ‘Fixed Deposit’ yang diwar-warkan Kerajaan BN dan cuba dimanfaatkan parti pembangkang dengan menawarkan kerakyatan kepada PATI yang cuba dipam keluar melalui lubang tandas ‘Task Force’ yang ditubuhkan secara ‘HARAM’ di Sabah; akan menjadi detik penentu dan arah tuju politik Sabah untuk tempoh sepuluh tahun akan datang.
Pemimpin ‘Tunggul Kayu’ BN yang diresapi ‘Sindrom Pokok Pisang’ iaitu ‘suka mencantas anak-anak pisang yang mula tumbuh’ dan dalam masa yang sama enggan berundur walaupun buah sudah habis dan hanya mempunyai tandan buruk; semakin bimbang lalu bertanya kepada diri sendiri, “mungkinkah pisang berbuah dua kali?”
Pilihanraya Sarawak akan menjadi detik penentu, apakah Najib akan mendengar nasihat Mahathir setelah Abdullah Ahmad Badawi (Tun) ‘kecundang’ pada pilihanraya umum lalu, sehingga kehilangan majoriti dua pertiga kerana menganggap pesanan Mahathir sebagai ‘Kentut Sekang’ (Kadarau atau Saddui); yang bukan sahaja busuk malah berbau busuk lagi membusukkan dan jijik lagi menjijikkan.
Akan berbahagiakah Taib Mahmud (Sindrom Pokok Pisang) jika Najib enggan menerima senarai calon yang dikemukakannya dan mahukah Taib menerima calon pilihan Najib yang disifatkan seperti memukul anak untuk menyindir menantu?
Mengikut sumber rapat dengan Najib, pada pilihanraya penentu kepimpinan Najib setelah BN kehilangan moral kerana tewas dalam beberapa pilihanraya kecil di peringkat awal pemerintahannya, modus operandi dan kriteria pemilihan calon akan diubah secara drastik bagi memastikan bukan sahaja tidak ada ‘Tunggul Kayu’ malah ‘Pokok Pisang’ akan turut disingkirkan.
Namun dengan kedudukan Taib Mahmud yang kaya raya dan telah memfaraidkan Sarawak kepada anak, cucu dan suku sakat beliau; Najib mungkin menghadapi masalah dengan pelan peralihan kuasa Taib yang ‘entahkan bila’ dan bergantung kepada keputusan pilihanraya umum negeri Sarawak.
Jika Taib berjaya memastikan BN terus unggul di Sarawak, maka adalah tidak mungkin Najib menebang pokok pisang yang bertandan buruk dan tidak produktif lagi; tambahan pula daripada benih pisang bertandan buruk inilah lahirnya kemenangan BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan