Selasa, 24 Mei 2011

Mengapa Kakak Ni Terlalu "Gembira" Tragedi Tanah Runtuh..


Sudah lama rindu dipendam. Sudah banyak air mata yang tumpah. 10 tahun bukan satu tempoh yang singkat.

Namun, Suzana Abdullah, 37, sering merasakan satu hari, satu saat, satu ketika, anaknya, Mohd Aizat Khusyairi Abd Karim, pasti dapat didakapnya semula.


Ternyata bicara hatinya tidak berdusta.


Walau tragedi tanah runtuh mengundang seribu tangis pilu, namun ia turut menjemput air mata gembira pada Suzana. Anaknya kini yang sudah berusia 13 tahun, dapat ditemuinya.


Suzana dilihat menangis teresak-esak dan memeluk Aizat yang terkejut dengan kehadirannya di Hospital Ampang.


Awalnya, air mata Suzana sudah dulu tumpah apabila menemui bekas adik iparnya, Noraida Yaacub yang juga penjaga Aizat.


“Saya berpisah dengan Aizat ketika usianya 2 tahun dan abangnya ketika itu berusia 4 tahun, setelah bercerai dengan bapanya, Abd Karim. Adik mereka yang bongsu kini berusia 11 tahun di bawah jagaan saya.


“Saya tidak pernah berhenti mencari Aizat dan abangnya,” katanya penuh hiba.


Suzana berkata, ketika melihat nama Aizat yang berbinkan bekas suaminya di media, sebagai salah seorang mangsa kejadian, hatinya cukup yakin itu adalah anaknya.


“Saya sangat rindukan Aizat. Setiap detik saya berdoa agar Allah mempertemukan kami semula. Dan akhirnya Allah memakbulkan suara rindu ini...” katanya. Air mata Suzana menitis laju.


Aizat awalnya terkejut. Tergamam apabila secara tiba-tiba dipeluk cium oleh seorang wanita yang tidak dikenalinya.


Namun hati kecil si anak akhirnya tersentuh. Air mata kasih menitis setelah diterangkan oleh Noraida dan warden asrama, Siti Fatimah Ibrahim bahawa Suzana adalah ibu kandungnya yang sebenar.


Namun Aizat gagal menyatakan apa yang dirasanya ketika pertemuan itu. Bila diaju soalan, Aizat sekadar menggelengkan kepala.


Reaksi Aizat yang masih keliru dan terkejut dengan pertemuan itu menyebabkan Suzana tidak berhenti-henti menangis.


Apapun, Suzana tidak akan pernah berhenti mengharap. Moga mulut Aizat akan ringan melantunkan kalimah ‘ibu’ memanggilnya satu saat nanti..


2 ulasan:

  1. Ya,adek Aizat membesar tanpa kasih sayang ibu.Dia membesar di atas belas kasihan dan kasih sayang ibu saudaranya.Di mana ayahnya?

    Bagaimanapun, dia bernasib baik kerana bukan sahaja terselamat dari bencana,bahkan ditempatkan bersama dengan golongan yang menekuni kehidupan beragama.

    Insya Allah, golongan inilah yang akan mendoakan ibu bapa mereka. Adek Aizat juga tidak akan lupa mendoakan ibu saudaranya.

    BalasPadam