“Saya kenal Anwar Ibrahim begitu lama, beliau seorang yang baik dan bersih. Sangat wajar beliau mengadu terus ke hadrat Allah s.w.t dari menyibukkan diri dengan isu-isu politik yang remeh-temeh ini,” kata beliau pada program anjuran bersama Persatuan Ulama Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
Semalam, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan mereka yang mengaitkan Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat, dengan video seks, yang dikatakan mirip pemimpin pembangkang itu, tidak akan masuk syurga.
Dipetik Harakahdaily, ucapan Dr Wahbah telah diterjemahkan oleh pendakwah tempatan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Rakaman video seks yang si pelakunya mirip beliau didedahkan oleh “Datuk T” pada 21 Mac lalu dan semalam, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar berkata, analisis pakar dari Amerika Syarikat mengesahkan ia sebagai tulen.
Dr Wahbah menambah, peralatan moden dengan teknologi secanggih mana pun tidak layak menjadi dalil dalam penghakiman Islam.
Katanya, meskipun peralatan itu digunakan oleh pengarah filem di Hollywood sekalipun, alat-alat itu tetap tidak boleh menjadi saksi.
“Kini alat-alat moden terlalu banyak seperti boleh menggunakan telefon tangan atau video. Jelas semua itu sengaja diadakan oleh mereka yang tidak baik, munafik dan rendah moral,” tegasnya.
Dr Wahbah menegaskan demikian ketika menyampaikan ceramah mengenai Sumpah dan Qazaf di Masjid Negeri.
Dr Wahbah juga menyatakan al-Quran menetapkan penuduh wajib mendatangkan empat saksi yang adil dan sebenar.
Tegasnya. jika penuduh gagal membawa empat saksi adil itu, mereka adalah pendusta atau munafik.
Beliau juga menyebutkan saksi adil itu mesti tidak melakukan dosa besar, tidak mengekalkan dosa kecil dan tidak melakukan kerja-kerja yang mencarikkan maruah dirinya.
“Orang fasik gugur sifat keadilannya dan mereka yang tiada padanya keadilan, Islam menolak kesaksiannya,” tegasnya yang merupakan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1430H.
Menjawab soalan yang berkisar tentang video seks, DNA dan Anwar, Dr Wahbah menolak dengan sekeras-kerasnya dengan jawapan tegas.
Menurutnya, beliau menyebutkan pernah berlaku di Mesir di mana perkara dilakukan kepada seorang ulamak yang dilakukan superimpose bagi menampakkan beliau sedang menari dengan artis menggunakan alat moden.
Malah, ujarnya, Majma’ Fiqhiah Islami Makkah menolak isu ini kerana ia adalah rekaan dan kerenah kecil sahaja.
Tiada pakar juga menjadi punca penolakan itu kerana asasnya tidak kuat, malah mahkamah antarabangsa juga tidak menerima sesuatu kes sewenang-wenangnya.
“Umat Islam hendaklah mengambil syariat Islam dalam menyelesailkan permasalahan dalam kehidupan mereka dan letakkan undang-undang syaitan di bawah tapak kaki mereka,” jelas beliau.
Dr Wahbah menggesa umat Islam segera mengambil iktibar dari semua peristiwa yang Allah s.w.t. datangkan seperti tsunami dan gempa bumi akibat daripada sikap dan amalan manusia mutakhir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan