Isnin, 11 Julai 2011

Kantoi !!..Bakar Sampah,Terbakar Rumah Jiran..


Seorang lelaki warga emas terkedu apabila mendapati tindakannya membakar sampah ketika cuaca panas terik menyebabkan rumah jirannya hangus dalam satu kejadian di Kampung Baru Sungai Serai, Chuping, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, lelaki berusia 70-an itu hanya mampu tersandar di sebatang pokok berhampiran rumah berkenaan kerana terkejut.


Api yang berpunca daripada pembakaran sampah di bawah pohon buluh berterbangan memasuki rumah mangsa, Ahmad Sulaiman Bakar, 26, hingga menyebabkan ia musnah dan mangsa kini tinggal sehelai sepinggang.

Ketika kejadian, Ahmad Sulaiman bersama ibunya, Siti Fatimah Awang, 62, menghadiri majlis perkahwinan kenalannya di Kampung Blok 20, Chuping, dekat sini, manakala isterinya, Munirah Murad, 21, yang baru bersalin anak kedua sebulan lalu berada di rumah mentuanya di Abi, dekat sini.


Siti Fatimah berkata, dia dan Ahmad Sulaiman gagal menyelamatkan semua barangan di dalam rumah separuh papan yang diduduki anak ketiganya itu sejak tiga tahun lalu kerana api marak begitu cepat, tambahan pula kebakaran berlaku ketika cuaca panas terik.


“Sebelum itu, saya sudah menegur jiran terbabit (warga emas) supaya berhati-hati membakar sampah pada waktu panas terik memandangkan api ketika itu turut membakar pohon buluh yang terletak kira-kira 10 meter dari rumah anak saya.

“Tetapi teguran saya tidak diendahkan kerana dia sedang sibuk membersihkan kawasan belukar di kawasan tanahnya untuk ditanam pokok getah. Sebelum menghadiri majlis kenduri itu, saya dan Ahmad sekali lagi memintanya supaya mengawasi sampah yang dibakar,” katanya yang menetap bersebelahan rumah Ahmad ketika ditemui di tempat kejadian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan