Sabtu, 30 Julai 2011

Kecohhh..IbuBapa Buat "Demontrasi" Di Hadapan Sekolah..

WANG TEPUS - Lebih 30 waris, ahli jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan Jawatankuasa Bertindak Menyelamat Sekolah mengadakan perhimpunan secara aman, di sini semalam, kerana kecewa dengan pentadbiran Sekolah Kebangsaan (SK) Penghulu Haji Darus.

Mereka mendakwa, sekolah berkenaan kurang mengamalkan sikap toleransi dengan waris bagi menjayakan pelbagai aktiviti terutama dalam bidang akademik murid, menyebabkan mereka risau akan prestasi pembelajaran anak masing-masing.

Pengerusi PIBG sekolah itu, Shafizan Taib, 36, mendakwa, sejak dua tahun lalu, banyak aktiviti bersifat akademik dikurangkan tetapi lebih memberatkan kepada aktiviti kokurikulum dan sukan.

Menurutnya, waris tidak menghalang anak mereka menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah tetapi biarlah ia seimbang dengan bidang akademik kerana ada murid yang akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini.

“Bayangkan, jika dahulu kelas tambahan di sekolah untuk murid UPSR diadakan awal bermula hujung tahun namun, kini ia hanya bermula pada Mei lalu dan keadaan itu membimbangkan waris jika anak mereka tidak dapat mengikuti pelajaran dalam masa singkat.

“Kami bimbang prestasi akademik murid di sini memandangkan sekolah ini terletak di kawasan luar bandar dan ia memerlukan perhatian, serta komitmen tinggi terutamanya daripada pihak sekolah selain ibu bapa sendiri,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Waris lain yang juga AJK PIBG sekolah itu, Khasim Ibrahim, 43, berkata, sewaktu Mesyuarat Agung pada Mac lalu mereka turut membuat usul tidak percaya terhadap guru besar terbabit dan kemudiannya laporan mesyuarat dan usul itu diserahkan kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kubang Pasu dan Jabatan Pelajaran Negeri Kedah.

Menurutnya, mereka bukan mendesak tetapi lebih kepada merayu pihak bertanggungjawab menimbang laporan dihantar demi kebaikananak mereka yang belajar di sekolah itu.

“Kami tidak mahu prestasi akademik anak kami merosot kerana ia penting demi menjamin masa hadapan mereka kelak.

“Sebelum ini kami berkali-kali ingin berbincang dengan pihak sekolah, namun pelbagai alasan diberikan menyebabkan kami tidak mempunyai pilihan lain menghantar surat kepada PPD dan JPN melalui saluran yang betul namun tiada sebarang jawapan.

“Jadi perhimpunan aman hari ini (semalam) adalah pilihan terakhir kami sebagai waris murid bagi memastikan hak dan kebajikan anak-anak kami di sekolah ini dapat dipertahankan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan