Selain mufti Perlis, Dr Juanda Jaya yang berhujah bahawa amalan bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu subuh dengan kuat bertentangan dengan sunnah nabi, bekas pemegang jawatan itu juga menyokong langkah yang diambil oleh Jabatan Mufti Pulau Pinang.
Prof Madya Dr Asri Zainul Abidin berkata, patuh kepada arahan yang dikeluarkan oleh jabatan mufti di negeri itu tidak harus dipandang dari sudut politik tetapi ia adalah sunnah Nabi SAW demi menjaga Islam yang harmoni.
"Umat Islam Pulau Pinang sepatutnya menyokong keputusan ini, dan saya menyokongnya,” katanya.
“Fatwa atau arahan ini bagi saya selaras dengan kehendak syarak,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Menurut Asri, apa yang disyariatkan dalam Islam untuk diangkat suara hanyalah azan dan “selain itu, tiada nas yang menyuruh kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain.”
Malah kata beliau, perbuatan itu dilarang oleh Nabi Muhammad SAW dan apatah lagi dalam Islam, ketenteraman orang lain dipelihara melainkan jika ada pengecualian tertentu yang diizinkan oleh syarak.
“Maka, dengan itu memang wajar arahan meminta dielakkan bacaan-bacaan yang dibuat melalui pembesar suara yang boleh mengganggu orang luar dan dalam masjid,” kata beliau.
Sementara itu, Juanda dalam Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepada portal Malaysiakini berkata, larangan menggunakan pembesar suara dalam kes seperti itu sudah lama dikuatkuasakan di Perlis.
“Kami sokong kenyataan itu dan Perlis dah lama kuat-kuasakan larangan itu di masjid dan surau, walaupun kadang-kadang ada (pihak) yang larang.
“Mikrofon (di) masjid hanya boleh laungkan azan waktu subuh sebanyak dua kali sahaja iaitu azan pertama 30 minit sebelum subuh dan kemudian azan subuh.
“Ini adalah amalan yang menepati kehendak Sunnah Nabi SAW yang sepatutnya dipatuhi oleh semua umat Islam yang cintakan Sunnah Nabi SAW yang sahih,” katanya.
Katanya, penggunaan mikrofon yang kuat bertentangan dengan sunnah Nabi SAW kerana mengganggu orang sedang tidur. Perbuatan itu juga adalah haram dan berdosa, jelasnya.
Berita Harian semalam melaporkan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAPP) mengeluarkan larangan selaras dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri itu kerana amalan berkenaan dikatakan bercanggah dengan hukum syarak dan boleh mengganggu orang lain di dalam dan luar masjid.
Akhbar milik Umno itu juga memetik pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Prof Datuk Abd Shukor Husin berkata, larangan itu ditakuti mendatangkan kesan kepada penyatuan Umat Islam di negara ini.
Sebaliknya, kata beliau, larangan itu sebenarnya tidak perlu diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri, sebaliknya ditentukan mengikut budi bicara dan disesuaikan dengan keadaan sesuatu tempat.
"Sepatutnya tak payah keluarkan fatwa dulu, fatwa itu harus berhemah dan berhikmah, kena kaji sama ada tempat itu memerlukan larangan atau tidak, kerana bila sudah difatwakan ia akan menjadi isu yang boleh menjadi punca masyarakat Islam tidak bersatu.
"Contohnya satu kes masjid berdekatan dengan hospital, bila nak masuk waktu solat, imam baca al-Quran sehingga mengganggu pesakit, jadi mereka jumpa dengan mufti dan larangan itu boleh dipertimbangkan mengikut kawasan,” katanya dipetik Berita Harian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan