Isnin, 22 Ogos 2011

Siapa ADUN Pas Yang DiTangisi Oleh Warga Emas Ini??

Zaliha Ramli berusia, 65 tahun, seorang ibu tunggal yang mempunyai lima orang anak dan 20 orang cucu berkata, hasil bantuan sumbangan RM1000 yang diterima telah memberi sinar baru dengan membeli peralatan membuat kuih raya (oven elektrik) dan bahan kuih raya.


Melalui sumbangan tersebut akhirnya beliau dapat membuat tujuh Jenis kuih sebanyak 3000 balang untuk dipasarkan.

“Saya tidak menyangka sama sekali permohonan bantuan modal untuk membuat kuih hari raya mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia, Dr Hasan Mohamed Ali. Banyak tempat sudah saya cuba untuk meminta bantuan sara diri akhirnya di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Gombak Setia yang sudi membantu saya. Walaupun bantuan modal pusingan yang diberikan RM1000, bagi saya ianya amat berharga dan perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan,” katanya dengan linangan airmata ketika wartawan bertandang petang semalam ke rumahnya yang jelas kelihatan seorang asnaf yang perlu diberikan bantuan.

Beliau yang kehilangan suami semenjak 30 tahun yang lalu kini hidup menumpang tanah di rumah adiknya dengan membina sebuah rumah kecil hasil daripada wang simpanan pekerja ketika beliau bekerja di sebuah syarikat.

Tiga tahun yang lalu beliau juga telah kehilangan penglihatan yang tidak tahu apa puncanya. Dengan penderitaan kesakitan yang ditanggung akhirnya beliau tidak mampu bekerja lagi. Atas keperihatinan seorang individu beliau telah menerima rawatan pembedahan untuk memulihkan penglihatannya kembali.

Warga emas ini yang tidak mampu bekerja lagi , dirinya disara oleh salah seorang anaknya yang juga tidak mempunyai pendapatan yang baik. Menurut Zaliha, anaknya bekerja seorang pemandu lori hanya memperolehi pendapatan sebulan RM1200 untuk menanggung lima orang anak.

“Tekanan ekonomi kami amat dirasai lebih-lebih lagi kenaikan harga barang yang kini semakin melonjak dan kadangkala tidak mampu untuk membeli barang keperluan dapur membuat kami kadangkala terpaksa ikat perut.

"Keperluan barangan sekolah anak-anak mereka perlu dicukupi terlebih dahulu demi memastikan anak-anak mereka mendapat ilmu yang baik dan Berjaya dalam pelajaran. Rumah yang dibina ditanah tumpangan ini juga berkongsi bekalan elektrik dan bekalan air yang diambil daripada rumah anak saya,” katanya dengan sebak.

Banyak kali beliau cuba membuat permohonan bantuan di Pusat Zakat Selangor (PZS), namun ditolak. Ianya sungguh mengecewakan beliau.

PZS memberi alasan dia di bawah tanggungan anak-anak.

"Adakah mereka mengerti dan melihat kesusahan yang kami tanggung?. Anak-anak saya mempunyai tangungan tersendiri, duduk jauh daripada saya. Kita ingin minta bantuan mereka pun rasa tidak sanggup kerana pendapatan mereka ibarat kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Kadang-kadang kami terpaksa ikat perut menahan lapar. Untuk meminta-minta kepada orang lain sering sahaja di cemuh masyarakat," cerita Zaliha.


Zaliha juga mempertikaikan kemanakah wang zakat yang diberikan oleh masyarakat kepada PZS untuk membantu fakir miskin.

Mengapa begitu sukar untuk mendapat bantuan daripada PZS dengan meletakkan berbagai syarat, sedangkan wang zakat yang diberikan oleh masyarakat perlu diagihkan dengan sebetulnya dan layak memberi kepada golongan yang benar-benar memerlukan bantuan.


Harakahdaily di fahamkan oleh beliau, setakat ini hanya Jabatan Kebajikan Masyarakt (JKM) sahaja yang memberi bantuan sebanyak RM90 sebulan.

“Bantuan yang diterima RM90 sebulan benar-benar tidak mencukupi untuk menampung kehidupan harian saya, apatah lagi jika saya diserang sakit. Dengan kesusahan ini, tahun lepas UMNO-BN Gombak ada menganjurkan Program Hapus MiskinTegar dan ingin memberi bantuan rumah PRT.

"Mereka ada memberi saya borang dengan menyarankan agar saya menyertai program ini dengan mengisi borang tersebut. Saya ikut arahan mereka tetapi sehingga kini tiada sebarang bantuan diberikan oleh Umno. Saya tidak tahu untuk apa tujuan borang tersebut diisikan namun tanpa sebarang bantuan diberikan,” katanya dengan penuh kesal.


"Akhirnya perjalanan permohonan bantuan saya terhenti di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Gombak Setia ketika mengikuti program yang dianjurkan oleh Adun Gombak Setia untuk memberi bantuan fakir miskin, ibu tunggal dan OKU di Masjid Zakaria Batu 8.

"Saya menerima bantuan wang tunai RM200, cenderahati dalam program yang dianjurkan. Saya bertemu dengan Datuk Hasan minta belas ehsan kepada beliau dengan menceritakan keadaan diri saya dan keinginan untuk memulakan perniagaan.

"Saya membuat permohonan bantuan di sini dengan mengambil masa sehari proses. Dalam tempoh tiga hari, permohonan saya diluluskan sebelum menyambut Ramadhan dengan menerima wang tunai RM1000. Saya rasa terlalu bersyukur kepada Allah SWT akhirnya doa saya selama ini didengari juga olehNya,” cerita beliau hiba.

Katanya lagi, Datuk Hasan menasihatkan beliau agar jangan berputus asa untuk teruskan kehidupan. Mungkin ramai lagi orang lain yang mengalami kesusahan.

“Datuk juga banyak memberi nasihat yang saya kira amat bermakna antaranya, Allah berfirman yang bermaksud iaitu orang yang bertaqwa orang yang berinfaq (bersedekah) baik pada waktu lapang mahupun waktu sempit, dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan kesalahan orang lain. Allah amat mencintai orang yang membuat kebaikan. Kata-kata ini sungguh menyentuh hati saya untuk sentiasa perbaiki diri dan sentiasa membantu orang lain juga," katanya.



3 ulasan:

  1. Bila keluar kat tv barulah ramai yang nak membantu dan ramailah yang bersuara "oh!selama ni saya tak tahu ada orang miskin kat kampong ni,mengapa tak memohon bantuan jabatan kebajikanmasyarakat?" ..ceh tahi kucing,mak mertua aku pun dah memohon,dia ibu tunggal,sakit lak tu...begitulah jawapan yang diberi,ditanggung oleh anak2,ptuih!!!!anak pun ada tanggung jawab sebab dia pun ada anak isteri....

    BalasPadam
  2. Salam semua yg membaca,masalah ini sudah menjadi masalah seluruh negara kerana org2 yg memegang amanah mencari dan mengagihkan wang zakat ini memang tak menjalankan kerja mereka seperti yg diamanahkan, kalau setakat tunggu ada yg melapurkan baru nak bertindak baik tak payah bertugas dipusat-pusat zakat, kalau pegawai-pegawai ini bertugas dengan jujur dan boss mereka tak hanya nak fikir renovate pejabat, tukar kereta pejabat baik mereka ni kerja disektor koperat. Duit di kutip berjuta-juta tapi masih tak sampai pada yang memerlukan, ada ditempat saya keluarga ini dibantu oleh pihak zakat,suami dah berumur dan masih berupaya mencari rezeki,siisteri berniaga, mereka ada kereta dan motorsikal,rumah mereka complete dgn perabut dan anak cuma tiga orang,anak-anak ada handphone setiap sorang,basikal,computer riba. Ada ibu tunggal mempunyai anak seramai lima orang di perumahan yg sama tapi bila minta bantuan zakat tidak dilayan denga sewajarnya, pada saya dimanakah pegawai-pegawai zakat ni, adakah mereka ni semata-mata makan gaji??? renung-renungkanlah masalah yg telah menjadi kudis pada asalnya,sekarang dah parah merebak menjadi barah di Pusat-pusat zakat nih....

    BalasPadam
  3. Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Gombak Setia, yang dipengerusikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia, Dr Hasan Mohamed Ali tidak perlu nak menonjolkan diri dalam hal macam ini. Kalau Hasan Ali tahu menjalankan tugasnya iaitu mengarahkan JAIS memperkemaskan institusi zakat, perkara macam ini tentu tidak berlaku.

    BalasPadam