Ahad, 11 September 2011

Bapa Di Belasah Sehingga Mati...

Niat murni seorang bapa meleraikan pergaduhan membabitkan anak lelakinya dengan sekumpulan remaja berakhir tragedi apabila dia maut dipercayai dipukul dengan senjata tumpul.

Dalam kejadian jam 11.30 malam kelmarin di Taman Utama di Pekan Nanas di sini, Chen Chio Beng, 38, dibelasah kumpulan remaja lelaki itu ketika cuba menghalang mereka menyerang anak sulungnya.


Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin berkata, dalam kejadian itu, 10 remaja lelaki yang menceroboh masuk ke kediaman keluarga mangsa bertindak agresif dengan membelasah anak lelaki mangsa berusia 19 tahun dan beberapa rakannya di situ.

Beliau berkata, siasatan mendapati pergaduhan itu berpunca daripada perselisihan faham antara kedua-dua kumpulan remaja itu sejak beberapa hari sebelum kejadian.


“Ketika berlaku pertengkaran, secara kebetulan bapa remaja itu berada di rumah dan cuba meleraikan kedua-dua kumpulan remaja.


“Ketika cuba mengelak keadaan bertambah serius, bapa remaja itu menjadi mangsa apabila turut dibelasah hingga mengakibatkan cedera parah di beberapa anggota badan,” katanya.

Zahaliman berkata, selepas kejadian, kumpulan lelaki itu melarikan diri dengan menaiki kereta dan motosikal.


Beliau berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Pontian di sini, tetapi menghembuskan nafas terakhir tidak lama selepas itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan