Pemuda Pas Negeri menyokong kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohammad Sabu yang mendakwa Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan sebenar.
Ketuanya, Zawawi Yusoff berkata, kenyataan Mohammad Sabu atau Mat Sabu itu adalah situasi sebenar selain berdasarkan kepada fakta-fakta yang relevan berhubung perkara tersebut.
Menurutnya, isu berkenaan juga telah disuarakan sejak sekian lama iaitu sejak sekitar 80-an tetapi ia senyap begitu sahaja sehinggalah ditimbulkan kembali waktu ini.
“Kita menyokong kenyataan berfakta daripada beliau (Mat Sabu) ini, malah ianya telah disuarakan sejak sekian lama, tetapi baru hari inilah pihak Umno nak putar belit isu ini.
“Cuba perhatikan betul-betul. Individu-individu yang disebut oleh beliau juga berjuang menentang British, bukannya menentang orang Melayu.
“Mungkin yang ditentang hanya segelintir yang menjadi tali barut kepada British di masa itu,” katanya, semalam.
Berkata demikian ketika diminta mengulas cabaran daripada Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri, Mohamad Annuar Ariffin yang mahukan pihak Pemuda Pas menyatakan pendirian terhadap isu berkenaan.
Sementara itu, Zawawi juga mendakwa wujud dua pihak Umno iaitu ‘lama’ dan ‘baru’ yang memiliki perjuangan berbeza.
Katanya, hanya Umno lama yang berjuang untuk orang Melayu manakala Umno baru pada hari ini dilihat banyak menyeleweng daripada perjuangan sebenar malah lebih menjurus kepada kepentingan diri sendiri.
“Perjuangan Umno baru ini dilihat tidak banyak memperjuangkan hak Melayu malah lebih kepada kepentingan politik semata-mata,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan