Rabu, 14 September 2011

Fuhh..Guru Maut DiHempap Pokok Kelapa..

“Ibu mana tidak trauma melihat anaknya mati depan mata. Saya pengsan selepas melihat pokok kelapa itu menimpa anak,” kata Mariam Awang, 65, ibu kepada Mohamad Fadhli Chik, 35, yang maut dihempap pokok kelapa di Jalan Pusara, Kampung Seberang Marang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.40 petang itu, Mohamad Fadhli yang menunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera teruk di kepala dan anggota badan.


Jenazahnya kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Marang (KKM), di sini, sebelum dirujuk ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

Bagaimanapun, Mariam yang membonceng motosikal berkenaan tidak cedera.


Mariam berkata, sebelum kejadian arwah yang juga anak bongsu daripada lima beradik mengambilnya di rumah kerana dia ingin bermalam di rumah anaknya yang terletak di kampung sama.


“Sejak suami meninggal pada 2002, saya sering bermalam di rumah anak dan pada hari kejadian, giliran saya bermalam di rumah arwah yang terletak satu kilometer dari rumah saya.

“Seperti biasa arwah datang ke rumah dengan menaiki motosikal untuk mengambil saya pada jam 6.30 petang.


“Ketika perjalanan ke rumah arwah menaiki motosikal, tiba-tiba sebatang pokok kelapa setinggi 20 meter menghempap arwah menyebabkan saya terpelanting, manakala arwah dihempap pokok kelapa itu.

“Saya terkejut apabila melihat kepala arwah berdarah sebelum dia menghembuskan nafas terakhir menyebabkan saya pengsan.


“Difahamkan orang kampung datang mengalihkan pokok kelapa sebelum kami dikejarkan ke KKM.,” katanya, semalam.


Menurutnya, dia sedih anaknya mati dalam keadaan menyayat hati tetapi reda dengan kejadian itu.


“Dia seorang yang baik, semoga rohnya dicucuri rahmat,” katanya.


Mariam berkata, arwah yang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Merchang, meninggalkan seorang balu, Suraya Ramli, 36, dan dua anak perempuan berusia tiga dan lima tahun.


Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Darat Pak Chang, di sini, pada jam 11 pagi semalam.

1 ulasan:

  1. anak yang baik, berbakti kepada ibunya..moga rohnya dicucuri rahmat..

    BalasPadam