Dalam kejadian jam 12.02 tengah malam itu, Kathir Oli Fakir Mohd, 31, maut ditembak di dada kirinya oleh polis di sebuah pub di Jalan Mustafa Albakry, Pekan Baru di sini.
Kejadian berlaku selepas mangsa bersama tiga lelaki lain dikatakan masuk ke dalam sebuah pub berkenaan sebelum berlaku pergaduhan disusuli kejadian tembakan di luar premis.
Isteri mangsa yang enggan namanya didedahkan berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dihubungi seorang rakan suaminya beberapa minit selepas kejadian.
Dia yang berusia 33 tahun, bergegas ke lokasi kejadian dan mendakwa polis tidak membenarkannya mendekati mayat suaminya di belakang kereta Mercedes Benz milik mereka.
“Saya diberitahu suami bergelut dan ditembak polis kerana mahu melakukan rompakan di pub berkenaan.
“Saya tidak percaya semua itu kerana kami bukan orang susah. Kami mempunyai syarikat lori, pengangkutan, binaan dan pelbagai perniagaan lain,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun, pagi semalam.
Menurutnya, keluarganya tidak pernah menghadapi masalah kewangan malah Kathir didakwanya tidak pernah mempunyai sebarang rekod jenayah.
“Kali terakhir dia ada menghubungi saya jam 10 malam kelmarin dan memberitahu ingin keluar makan bersama dua rakan dan dua pekerjanya. “Saya tidak percaya dia pergi merompak pub itu. Ada kemungkinan dia mangsa keadaan atau kecuaian,” katanya yang mempunyai empat cahaya mata hasil perkahwinan dengan mangsa.
Menurutnya, dia akan mendapatkan khidmat peguam bagi mendapatkan keadilan selain mengetahui punca sebenar kematian suaminya.
Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, mangsa bersama tiga suspek menyerang anggotanya sehingga cedera di bahagian muka, mata dan calar-calar di badan.
Beliau berkata, sebelum kejadian, anggota polis berkenaan yang kebetulan berada sekitar lokasi kejadian mendengar jeritan pekerja wanita di pub berkenaan dan mendapati empat lelaki cuba menyamun pusat hiburan berkenaan.
“Sebaik tiba di pub, anggota polis diserang dengan parang sebelum berlaku pergelutan. Malah, lebih mengejutkan dua daripada suspek cuba merampas pistol anggota berkenaan.
“Bagi mempertahankan diri dan nyawa, anggota berkenaan mengeluarkan pistol dan melepaskan satu das tembakan yang mengenai dada mangsa,” katanya, semalam.
Katanya, anggota berkenaan turut menahan dua suspek lain manakala seorang lagi cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan selepas itu.
Mohd Shukri berkata, pihaknya sedang menyiasat kes berkenaan manakala, tiga suspek ditahan reman selama seminggu malah dan polis juga sedang menyemak sama ada semua suspek mempunyai rekod jenayah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan