Khamis, 15 September 2011

Kerajaan Sudah "Insaf"..Boleh Caya ke Beb..??

Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan menginsafi bahawa realiti negara Malaysia telah berubah selain merasai resah gelisah dan aspirasi rakyat yang mahukan Malaysia menjadi lebih terbuka lagi dinamik demokrasinya.

Sehubungan itu kata beliau (gambar), kerajaan juga merasakan bahawa pendapat, idea dan kebimbangan massa perlu lebih diberi perhatian agar dapatlah kita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan sistem demokrasi lain di dunia yang berasaskan falsafah universal “dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat, maka.”

“(Oleh itu) kerajaan kini, di bawah Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, akan membentangkan kepada kedua-dua majlis Parlimen dengan usul agar ketiga-tiga proklamasi darurat yang telah diisytihar dulu, supaya ditamatkan kuatkuasanya.

“Pada hemahnya, sudah tiba waktu rakyat Malaysia menuju masa depan dengan paradigma seterusnya yang berasaskan harapan baru dan bukannya terbelenggu oleh nostalgia kekangan sejarah lampau,” kata beliau dalam perutusan khas sempena Hari Malaysia malam ini.

Katanya, sebagai yang ramai maklum bahawa kecuali darurat akibat konfrontasi tahun 1964, yang telah dibatalkan secara tersirat, kesemua proklamasi darurat lain yang telah diisytiharkan sebelum ini, masih dianggap berkuatkuasa sehingga hari ini.

Malah beliau juga mengumumkan beberapa perkara lain termasuk tindakan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Ia antara perubahan paling drastik dalam tempoh pascapilihan raya umum Mac 2008.

Katanya, dalam menyusun atur peradaban bernegara bagi menghadapi keadaan luar biasa yang mengancam keselamatan tanahair dan kesejahteraan rakyat, tidak dapat tidak, menuntut kepada langkah-langkah khas yang kadangkala, bersifat di luar norma demokratik.

“Umpamanya, tindakan tahanan pencegahan. Sesungguhnya, kebijaksanaan menangani keganasan memerlukan kita mencegah perlakuan itu, sebelum kehilangan nyawa mereka yang tidak berdosa, harta benda atau menatijahkan apa-apa kecederaan.

“Ini merupakan satu kebenaran yang bersifat global dan diterima ramai,” katanya.

Dari perspektif undang-undang Islam pula, kata beliau, “ia terangkum jelas dalam Maqasid Syariah yang berobjektif melindungi lima perkara utama yakni; pertama: agama, kedua: nyawa, ketiga: akal, keempat: keturunan dan maruah serta kelima: harta benda.”

“Bahkan prinsip Usul Fiqah banyak membicarakan tentang perlunya disekat lebih awal sesuatu kemungkaran itu, sebelum ia berlaku.

“Manakala satu prinsip menyatakan bahawa, keputusan pemerintah adalah satu amanah yang perlu dibuat bagi pihak yang diperintah atas kepentingan maslahah ramai,” katanya lagi.

Tambah Najib, perkembangan ini bukanlah ehwal yang pelik, tidak lazim atau asing.

“Terbukti, negara-negara demokrasi yang maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom juga telah menggubal rangka perundangan khas bagi menangani ancaman pengganas pasca tragedi 11 September.

“Pucuk pangkalnya, perseimbangan serta perimbangan yang harus ada bagi sebuah demokrasi moden adalah, diantara keselamatan nasional dan kebebasan individu,” kata beliau sambil menambah, “itulah tugas dan tanggungjawab sebuah kerajaan yang matlamat tertingginya, menjunjung kebajikan serta kesejahteraan rakyat untuk mencari keseimbangan yang betul ini.”


1 ulasan:

  1. Dia nak selamatkan anak dia dan keluarganya kot kerana mengadakan pertunangan dengan pemuda keluarga komunis tu. Entah-entah ada peruntukan undang-undang yang tak membolehkan hubungan dengan komunis selain dari hubungan diplomatik.

    BalasPadam