Kisah perpisahan Mamat dan Adda bukan lagi isu baru. Namun setelah adik kepada pemain gitar kumpulan Kristal, Rody ini membuat kenyataan mengenai perpisahan mereka menerusi sebuah akhbar baru-baru ini, timbul pula kontroversi lain.
Selain mendedahkan perangai buruk Mamat, Adda juga mendakwa Mamat adalah punca utama kumpulan Sepah berpecah.
Adakah benar dakwaan bekas kekasih Mamat?
Zass mendapatkan komen ahli Sepah, Jep atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Bin Zainal Abidin untuk mengetahui kisah sebenar. Jika sebelum ini, Jep lebih selesa menutup mulut di atas isu perpecahan mereka, kali ini Jep bersedia meluahkan konflik sebenar yang berlaku dalam kumpulannya selama ini.
“Saya tidak menafikan kenyataan itu. Sebelum ini, orang tak tahu apa masalah kami hingga saya putuskan untuk bergerak sendiri. Terus terang saya katakan, masalah disiplin dan tiada komitmen adalah faktor mengapa kumpulan ini tidak boleh bertahan lagi.
“Saya sudah pendam terlalu lama perkara ini dan tidak mampu bertahan lagi. Saya dapat rasakan kami boleh berjaya dalam industri seni ini apatah lagi kami bertiga sekampung. Masing-masing sudah mengenali keluarga serta tahu kelemahan dan kelebihan diri.
“Tapi, apa yang boleh saya katakan, saya sudah penat dengan ahli yang tiada disiplin dan komitmen dalam bekerja. Ada yang buat sambil lewa dan menganggap semua perkara itu remeh-temeh. Saya mula bosan dan takut untuk bersatu lagi,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mengakui ada ahli yang sukar memberi kerjasama lebih-lebih lagi memberi idea untuk setiap persembahan mereka, Jep lelah dengan perkara sedemikian.
“Bayangkan dari minggu pertama hingga minggu ke enam Maharaja Lawak, idea dan jalan cerita datangnya daripada saya seorang. Shuib juga ada membantu memberi idea dan selalu berbincang. Tapi, hanya kami berdua sahaja.
“Saya penat kerana saya juga sibuk seperti yang lain. Kerana itu saya ambil keputusan untuk kuburkan sahaja Sepah. Apatah lagi, semakin banyak masalah peribadi yang timbul," katanya yang nekad berpecah selepas menjuarai Maharaja Lawak.
Hanya kerana nila setitik
Lanjutan daripada perpecahan itu, Jep turut terkena tempias lantaran pelbagai cerita kurang enak yang melanda salah seorang ahli yang bermasalah.
“Macam-macam yang saya dengar. Kaki perempuan, masalah disiplin, tak datang fotografi dan ada lagi yang membabitkan individu ini. Bukan hanya dia, malah ahli yang lain terkena juga. Hanya seorang buat hal, dua lagi akan menerima padahnya. Sepah tak ada disiplin, berlagak dan tak tepati masa.
“Sebagai kumpulan, sudah pasti saya mengambil sikap menegur di mana kurang dan silap. Tapi apa kesudahannya jika segala teguran dan nasihat tidak diendahkan? Jadi, keputusan berpecah ini adalah jalan terbaik,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan