Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata sesiapa sahaja di Malaysia, yang membayangkan sokongan terhadap komunis, tidak akan berjaya.
"Rakyat masih ingat gara-gara komunis di zaman darurat dahulu, ribuan telah maut, ada yang patah kaki, dan ada yang hilang upaya," katanya kepada pemberita selepas majlis rumah terbuka beliau sempena Aidil Fitri di sini, Selasa.
Beliau berkata keganasan komunis menimbulkan kesan yang amat buruk kepada negara, dan sesiapapun tidak sepatutnya cuba membangkitkan isu perjuangan mereka.
Ditanya sebab kerajaan membenarkan kisah perjuangan komunis disebarkan secara meluas di Internet, Rais berkata: "Negara kita bebas bersuara, tetapi jangan sampai pecah-elahkan masyarakat kerana kita ada undang-undang."
Beliau juga berkata kerajaan sentiasa meneliti perkembangan sentimen komunis di Internet, dan ketika ini, kebanyakannya diguna pakai lebih kepada kepentingan perjuangan politik pembangkang.
Rais berkata demikian ketika diminta mengulas sidang akhbar PAS di Kuala Lumpur hari ini yang menyatakan pendirian sebenar parti itu berhubung isu berkenaan, iaitu iaitu mereka menolak komunis dan mengakui kemerdekaan negara dibuat secara lebih damai melalui perjuangan Umno.
Penjelasan itu dibuat berikutan bantahan masyakarat, terutama bekas pejuang dan tentera, yang secara lantang mengutuk Mohamad Sabu kerana mendakwa kemerdekaan negara ini diperjuangkan oleh komunis.
Mengenai sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia yang jatuh pada 16 Sept depan, Rais berkata satu majlis iaitu 'Merdeka Raya' akan diadakan di Pulau Pinang 11 Sept ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan