Sabtu, 1 Oktober 2011

Artis "Puji" Tindakan PAS...

Pelakon popular, Zed Zaidi (gambar) mengalu-alukan langkah yang dilakukan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat yang menemui Ahmad Idham Ahmad Nadzri, bagi menyelesaikan kontroversi yang timbul berhubung filem terbaru arahan pengarah itu pada 26 September lalu.

Menurut beliau, dengan adanya pertemuan seperti itu, golongan artis akan lebih terbimbing dengan baik bagi membolehkan mereka menghasilkan filem-filem lebih bermutu pada masa akan datang.

"Pada saya, langkah yang diambil oleh golongan agama tidak kira sama ada dari PAS dan pertubuhan-pertubuhan lain untuk mendekati artis sememangnya dialu-alukan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Dengan adanya langkah seperti itu, katanya, ternyata golongan agama bukan sekadar hanya tahu 'membantai' golongan artis, tetapi turut sama berperanan menyelesaikan masalah yang berlaku berhubung pembikinan dan penerbitan sesebuah filem serta kehidupan golongan artis.

Pengarah Ahmad Idham baru-baru ini diselubungi masalah apabila filem terbaru arahannya, Hantu Bonceng mencetuskan kontroversi disebabkan beberapa adegan di dalamnya didapati menghina Islam.

Filem Hantu Bonceng yang diterbitkan oleh syarikat kepunyaan Ahmad Idham sendiri, Excellent Pictures Sdn Bhd ditayangkan bermula 31 Ogos sehingga 4 September 2011 lalu secara serentak di 80 pawagam di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Hantu Bonceng dibintangi Mohd Razizan Abd Razak atau lebih dikenali sebagai Zizan Raja Lawak, Juliana Evans, Jue Aziz, Dottie, Tai, Zahid Baharudin dan beberapa orang pelakon lain.

Filem ke-23 arahan Ahmad Idham itu merupakan filem komedi dan mengisahkan Amran yang gemar berlumba haram yang tiba-tiba terlibat dalam satu kemalangan yang meragut nyawa gadis yang memboncengnya.

Sejak itu, gadis yang tidak tenteram itu menghantui Amran dan Amran meminta kekasihnya, Halimaton dan rakannya Kunyit menyempurnakan mayat gadis tersebut.

Namun filem yang menghasilkan kutipan tiket melebihi RM8 juta itu dikecam hebat oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia kerana dalam satu adegannya, Zizan jelas menghina Rasulullah saw dengan menyebut “Ashaduanna Muhammadar ... syaitan” yang membawa maksud “Aku naik saksi bahawa Muhammad itu ... syaitan”.

Selain itu turut ditambah dengan adegan mempersendakan azan, memakai baju yang mempunyai tanda salib ke masjid dan beberapa isu tahyul seperti bogel depan hantu.

Dewan Pemuda PAS Malaysia menerusi Ketuanya, Nasrudin Hassan ketika membuat teguran terhadap filem itu sejak 19 September lalu turut kesal yang teramat sangat dengan kelemahan ketara pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), sehingga membenarkan filem-filem berbaur penghinaan kepada Islam diterbitkan.

20 September lalu, Dewan Pemuda PAS melanjutkan lagi tegurannya kepada pihak penerbit, pengarah dan pelakon filem itu agar menyedari kesalahan tersebut dan mendesak agar penayangan filem itu dihentikan dan jika mahu ditayangkan juga, sekurang-kurang babak mengucap syahadah secara salah itu mesti dipotong untuk tayangan berikutnya.

Bagaimanapun, teguran itu tidak dipedulikan oleh Ahmad Idham, malah beliau dilaporkan menjawabnya dengan nada dan ayat-ayat yang tidak sewajarnya.

Tindakan beliau memaksa Dewan Pemuda PAS Malaysia membuat keputusan untuk mengadakan pertemuan khas dengan pengarah tersebut bagi menjelaskan maksud sebenar teguran itu demi kepentingan Islam, para penonton filem itu dan orang ramai di segenap peringkat pada 26 September lalu.

Pertemuan tersebut diadakan di pejabat Ahmad Idham dan melibatkan Nasrudin bersama beberapa kepimpinan Pemuda PAS Pusat lain serta menghasilkan natijah yang cukup baik.

Menurut Zed, beliau yakin pertemuan seperti itu tidak sia-sia, tetapi pasti terdapat hasil yang baik yang turut membantu Ahmad Idham menyelesaikan masalah yang dialaminya sekarang dan menghasilkan filem yang lebih baik selepas ini.

Beliau yang juga Pemangku Timbalan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) berkata, golongan artis sememangnya golongan yang berpengaruh dalam masyarakat dan perlu menjalani kehidupan yang baik seperti yang dituntut dalam Islam.

"Jadi golongan artis memang amat perlu didekati oleh golongan agama. Golongan artis perlu dibimbing supaya dapat memainkan peranan yang baik untuk masyarakat.

"Sekiranya golongan artis melakukan kesalahan, mereka perlu ditegur dengan baik, bukan dengan cara mengutuk dan membantai mereka seperti yang dilakukan oleh sesetengah pihak," katanya.

1 ulasan:

  1. Assalamualaikum
    Ive watched the movie tp xperasan la pulak part tu..however, sgt bnyk scenes yg rasenye agak menyentuh sensitiviti saya sebagai seorang muslim. In fact, one of my friend langsung xketawa tengok filem tu and lepas habis movie dia tanya, xrasa bersalah ke tengok diorang mempersendakan Islam. The movie is just wrong. Fullstop. But I guess its a norm now.

    BalasPadam