Selasa, 25 Oktober 2011

Audit..Belanja Lebih,Tak Salah Beb..SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata lebih perbelanjaan di pihak badan antirasuah itu, yang ditegur Laporan Ketua Audit Negara 2010, sama sekali tidak melanggar mana-mana arahan perbendaharaan ataupun prosedur pengurusan kewangan.

Sebaliknya SPRM menjelaskan lebihan perbelanjaan itu merupakan bayaran bonus yang diluluskan oleh kerajaan dan memerlukan peruntukan untuk tujuan pembayaran.

“SPRM ingin menjelaskan bahawa lebihan perbelanjaan menurut Laporan Ketua Audit Negara berkenaan sebanyak 0.73 peratus adalah disebabkan untuk menampung bayaran bonus tahunan kepada pegawai Gred 54 ke bawah mengikut arahan kerajaan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 2010 dan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2010,” kata suruhanjaya dalam satu kenyataan hari ini.

Laporan Ketua Audit Negara 2010, yang dikeluarkan semalam menyenaraikan SPRM sebagai salah satu daripada sembilan jabatan yang berbelanja melebihi peruntukan keseluruhan.

SPRM berkata pihaknya mengalu-alukan kerjasama semua pihak dalam memberi sebarang maklumat yang berkaitan berhubung dengan Laporan Ketua Audit Negara 2010.

Kenyataan SPRM juga berkata pihaknya telah pun menjalankan siasatan ke atas sebahagian besar isu yang dibangkitkan dalam laporan berkenaan hasil daripada aduan dan maklumat diterima daripada orang ramai sebelum ini.

Katanya, antara tindakan yang telah diambil SPRM adalah membuka sebanyak 36 fail siasatan.

Daripada jumlah itu dua dibuka di ibu pejabat SPRM, tujuh di Sabah, masing-masing enam di Terengganu dan Kedah, Johor (tiga), Perak (tujuh), Pulau Pinang (tiga) dan Sarawak (dua).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan