Sabtu, 22 Oktober 2011

Fuhh..Inikah Kekayaan Gila Gaddafi..

Kematian bekas pemimpin Libya Muammar Gaddafi diraikan berjuta-juta penduduk Libya yang yakin bahawa ia akan membuka sejarah baru kepada rakyat negara itu yang sejak sekian lama hidup di bawah pemerintahan kuku besi.

Bagaimanapun, kematian beliau belum mengakhiri masalah Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) yang bertindak sebagai kerajaan sementara kerana kini ia perlu mendapatkan semula harta dan kekayaan bekas pemimpin itu yang ‘bertaburan’ di beberapa negara.
Butiran dari dokumen yang dibocorkan kepada pertubuhan anti- rasuah Global Witness menyatakan Gaddafi memiliki kekayaan dalam bentuk wang tunai dan aset yang diletakkan di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Pelaburan Libya (LIA) bernilai AS$38 bilion (RM121 bilion), disimpan di bank di Eropah dan Amerika selain dilaburkan dalam pelbagai syarikat.

Ia bagaimanapun tidak memberi maklumat mengenai pelaburan lain yang dilakukan Syarikat Pelaburan Arab Libya Luar Negara (Lafico) yang juga anak syarikat LIA yang ada kepentingan di beberapa negara.

Maklumat menunjukkan LIA mempunyai pegangan saham di beberapa syarikat antarabangsa yang terkenal, termasuk Nokia.

“Bank Eropah terbesar yang menyimpan wang Gaddafi ialah syarikat perkhidmatan kewangan Perancis Société Générale, yang sehingga Jun tahun lalu menyimpan wang berjumlah AS$1.8 bilion (RM5.76 bilion) di dalam beberapa akaun,” kata laporan itu.
Sebuah bank antarabangsa di Malta pula dilapor menyimpan kira-kira AS$239 juta (RM764 juta) dalam bentuk dana lindung nilai manakala sebuah bank di Amerika, Goldman Sachs menyimpan AS$182 juta (RM582 juta), manakala Royal Bank of Scotland memiliki sejumlah AS$110 juta (RM352 juta).

“Adalah tidak masuk akal bahawa bank terbabit boleh ‘bersembunyi’ di sebalik maklumat sulit pelanggan dalam kes seperti ini. Ini adalah akaun negara dan pemiliknya adalah rakyat Libya,” kata pengarah Global Witness melalui laman web pertubuhan itu.

Pemangku perdana menteri kerajaan baru, Mahmoud Jibril berkata pihaknya akan melakukan semua perkara yang perlu untuk memulihkan demokrasi dan memulihkan semula negara itu, termasuk mendapatkan semula dana yang kini dibekukan di beberapa negara.

Mac lalu, Presiden Amerika Barack Obama mengarah perbendaharaan menyekat aset Libya di negara itu bernilai AS$30 bilion (RM96 bilion), aset terbesar negara asing yang pernah dibekukan. – Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan