Isnin, 3 Oktober 2011

Tahniah..PR "Menang" Pusingan Pertama..!!

Pakatan Rakyat mengisytiharkan kemenangan awal terhadap perjuangan menentang Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru (RUUPPKB), selepas menteri bertanggungjawab menarik balik undang-undang yang dicadangkan itu.

Ahli parlimen Batu Tian Chua berkata, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin menarik balik rang undang-undang itu pada sidang parlimen ke-12 yang bersambung hari ini.

“Ini maknanya kerajaan mengaku terdapat kelemahan di dalam Rang Undang-Undang tersebut dan tidak boleh menafikan suara penduduk Kampung Baru,” katanya dalam komen ringkas kepada Keadilandaily.com

Bagaimanapun, Tian Chua berkata Nong Chik mengumumkan penarikan undang-undang baru itu akan diganti dengan versi baru selepas mendapat maklum balas pelbagai pihak.

“Saya masih meneliti dan membacanya semula,” kata Tian Chua.

RUUPKB dijadual dibentang bagi bacaan kali kedua dalam sidang Parlimen yang bermula hari ini.

Pada minggu lalu, Penasihat undang-undang SPKB, Zulhazmi Shariff berkata, cadangan kerajaan untuk mewujudkan RUU PPKB 2010 mendapat bantahan dan tentangan hebat pemilik dan pewaris tanah.

Penduduk juga katanya mempersoalkan ketelusan borang kaji selidik Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar yang menyatakan sebanyak 93.8 peratus pemilik bersetuju dengan rang undang undang berkenaan.

Sebelum ini, Pengerusi SPKB, Ahmad Zamri Bin Asa’ad Khuzaimi turut memaklumkan bantahan keras daripada penduduk berhubung kaedah penyerahan hak milik tanah kepada kerajaan untuk pembangunan.

Ia termasuk penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960 dan segala keputusan perbadanan tidak boleh dicabar di mahkamah, pemansuhan MAS dan keanggotaan perbadanan yang tidak mewakili suara anak Kampung Baru.

SPKB menegaskan bahawa pindaan undang-undang tersebut hanyalah bersifat kosmetik dan bertujuan untuk mengaburi mata pemilik.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan