Rabu, 23 November 2011

Lembuu..Bagi Duit Sebelum Ada Perjanjian??

Pengurusan Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) akan dipanggil untuk memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Januari depan berhubung kontroversi yang menyelubungi badan itu.

Jawatankuasa itu juga mempersoalkan bagaimana Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani boleh keluar wang tanpa perjanjian dengan NFC ditandatangani tahun lalu.

Mengumumkan demikian, Pengerusi PAC Datuk Seri Azmi Khalid (gambar) berkata keputusan itu dibuat susulan pertemuan PAC dengan wakil Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada pendengaran dalaman pertama mengenai NFC di Bangunan Parlimen hari ini.

“Mesyuarat hari ini tidak membincangkan secara khusus mengenai NFC. Kita memutuskan untuk memanggil (pengurusan NFC) ke PAC Januari depan,” katanya dipetik Bernama Online.

Seramai 10 pegawai dari kementerian itu, yang diketuai oleh Ketua Setiausahanya Datuk Che Mohd Hisham Abdullah, hadir pada pertemuan itu. Turut hadir ialah bekas KSU kementerian Datuk Mohd Mokhtar Ismail.

Azmi berkata pada pertemuan hampir dua jam itu, pegawai-pegawai berkenaan memberitahu bahawa wang telah dikeluarkan kepada satu akaun khas dari 2008 hingga 2009, yang mana ia kemudian memerlukan kelulusan kementerian untuk disalurkan kepada akaun pengurusan NFC.

Bagaimanapun, perjanjian antara kementerian itu dan NFC hanya ditandatangani pada 2010.

“PAC mempersoalkan bagaimana wang boleh dikeluarkan sebelum perjanjian dimeterai tetapi jawapan terperinci tidak diperolehi. Kita telah bertanya kepada pegawai tetapi alasan yang diberikan macam-macam... mereka kata ia adalah mengikut sistem,” katanya.

Kontroversi melanda NFC, yang mengendalikan projek perternakan lembu RM250 juta itu di Gemas, Johor, berikutan Laporan Ketua Audit Negara 2010.

Azmi berkata PAC juga memutuskan untuk memanggil Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan wakil dari Kementerian Kewangan untuk memberi penerangan dari sudut sistem pengurusan dan pemantauan kerajaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan