Jumaat, 9 Disember 2011

Ini Khutbah JAKIM atau Khutbah UMNO..??

Khutbah Jumaat Jakim sempena tamat tempoh perkhidmatan Tuanku Mizan Zainal Abidin sebagai Yang di-Pertuan Agong Isnin ini berkata, Islam dan kedudukan Raja-raja Melayu dipertikaikan pihak tertentu kerana Muslim sendiri sanggup menggadai maruah dan kepentingan agama.(Gambar Hiasan)

Menurut kandungan teks khutbah yang diperoleh, umat Islam terbabit sanggup menggadai maruah dan kepentingan agama kerana kepentingan diri dan ideologi masing-masing.

“... juga ada yang sanggup bersubahat dengan pihak-pihak tertentu untuk mempertikaikan Islam sebagai agama rasmi di negara ini atas alasan bagi mempertahankan hak asasi pihak lain,” kata teks khutbah kali ini.

Tuanku Mizan akan digantikan oleh Sultan Kedah sebagai Yang di-Pertuan Agong minggu depan.

Oleh itu, tegas khutbah, jemaah dan umat Islam yang terlibat dan bersekongkol dengan pihak yang cuba merosakkan kedudukan Islam, sebenarnya telah mengkhianati agama Allah SWT.

“... terpesong daripada ajaran Rasulullah SAW, melakukan dosa yang besar, menzalimi umat Islam serta mengugat keharmonian negara.

“Ingatlah bahawa jika umat Islam hilang integriti, hilang maruah dan diperalatkan pihak lain, maka akhirnya umat Islam di negara ini akan menerima nasib yang malang seperti yang berlaku di sesetengah negara yang rakyatnya dihina dan dihalau daripada tanah air mereka sendiri,” katanya.

Khutbah itu tidak merujuk kepada mana-mana kenyataan sejak kebelakangan ini, tetapi dilihat perkara sedemikian juga menjadi perhatian pada Perhimpunan Agung Umno 2011 minggu lalu.

Malah ia juga menjadi sebahagian modal hujah dalam arena politik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurut khutbah itu, selain kedudukan Islam dalam Perlembagaan dan Raja-raja Melayu dipertikaikan, terdapat cubaan memurtadkan dan melanggari hak-hak eksklusif umat Islam.

Teks khutbah pusat itu menambah, bagi mengelakkan keadaan itu mimbar menyeru kepada semua jemaah dan umat Islam sekalian, “bersatu padu mendokong dan menjunjung sistem Raja Berpelembagaan yang sekian lama di amalkan di negara ini.”

“Elakkan diri daripada terlibat dengan sebarang tindakan yang boleh menggugat atau mencemar institusi Raja-raja serta mempertikai perkara-perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan yang telah dipersetujui bersama sejak merdeka lagi, termasuklah kesucian agama Islam sebagai agama negara ini.

“Ingatlah bahawa teraturnya urusan agama dan dunia adalah sesuatu yang dituntut dan ia tidak akan berlaku tanpa kewujudan pemerintah,” katanya.

Ia menambah, kalaulah tidak wujudnya pemerintah, nescaya keadaan manusia akan menjadi kacau-bilau dan mereka akan saling bermusuhan antara satu sama lain.

3 ulasan:

  1. kalau dah jadi buluh kena salai dengan api neraka baru tahu betapa azabnya api neraka

    BalasPadam
  2. umno dan jakim kan sama saja, Nabi membela kaum zimmi dan muahid terdapat hadis yang jelas, tetapi Nabi tidak memihak kepada golongan munafik (yang mengaku Islam tetapi menolak sebahagian hukum-hakam nya).

    Diharapkan (jakim dan umno cermin diri sendiri sama) jakim bawa cermin muka bersaiz besar tunjukkan kepada pemimpin umno dan jangan memakai cermin mata yang menampakkan kepada orang lain saja. Wallahualam.

    BalasPadam