Sabtu, 14 Januari 2012

Kantoii..DAP Tambahkan "Meroyan" Umno..

DAP dikira mengambil langkah pintar menangguhkan cadangan meletakkan calon Melayu dalam pilihan raya yang akan datang.

DAP dalam sejarahnya pernah meletakkan calon Melayu di masa lalu, dua dari mereka pernah menang di DUN Perak iaitu Fadzlan Yahya dan seorang lagi tahun 1974 telah mengalahkan peguam Cina terkemuka di Ipoh iaitu Kong Kok Yat.

Bagi mengelakkan parti itu tidak dilihat sebagai yang disokong oleh Cina saja, maka wajar ada pimpinannya dari orang Melayu setelah ia ada pimpinan dari masyarakat India.

Maka ia pernah bercadang untuk meletakkan beberapa orang Melayu di negeri-negeri yang pengaruhnya sudah ketara seperti Pulau Pinang, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan. Harapan bagi calon Melayu itu menang tidak mustahil, bahkan cerah.

Tetapi pada ketika UMNO dan penyokong berkaratnya terlalu benci dan takut pada DAP, maka ia dikira bijak dan pintar jika menangguhkan dulu cadangan meletakkan calon Melayu.

Mungkin pengalaman semasa Lee Kuan Yew menjadi rakyat Malaysia dulu boleh dipelajari. Lee Kuan Yew terlalu cepat menyatakan politiknya untuk menggantikan Perdana Menteri Melayu 20 tahun selepas pembentukan Malaysia.

Kerana kata-katanya untuk memberi peluang kepada orang Melayu terus menjadi Perdana Menteri selama 20 tahun, telah mencabar ruh perkauman yang tebal ketika menyingkirkan Singapura dari Malaysia.

Maka tidak perlu gopoh bagi DAP untuk menunjukkan partinya benar-benar Malaysian Malaysia pada masa ini, biarkan Najib saja berhempas pulas menjadikan 1Malaysia sebagai Malaysian Malaysia. Malaysian Malaysia itu suatu yang pasti terjelma tanpa digembar gemburkan oleh sesiapa.

Langkah paling bijak bagi DAP sekarang ialah menumpukan perhatian di kawasan yang padat pengundi bukan Melayu dan atas banduan PAS dan PKR ia boleh menarik orang Melayu di kawasan seperti itu.

Di kawasan-kawasan yang padat Cina, dalam apa keadaan UMNO tidak akan bertanding. Ia akan hilang wang pertaruhan di situ. Harapan BN di situ kepada MCA, Gerakan dan MIC. PAS dan PKR akan memastikan pengundi di situ tidak memberi undinya kepada MCA dan Gerakan.

Jika DAP meletakkan calon Melayu di Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan lain-lain, maka dijadikan propaganda oleh UMNO bahawa DAP menyedia Menteri Besarnya di situ dan Menteri Besar Melayu DAP itu tetap mereka momokkan sebagai kuda lumba DAP.

Yang penting pada DAP buat masa ini ialah kekal berkuasa di Pulau Pinang, dan menyertai pemerintahan di mana-mana Pakatan Rakyat berkuasa.

DAP telah meletakkan formula yang sangat bijak di Perak tahun 2008. Ia menjadi pembangkang yang paling banyak kerusi. Ia tidak minta jawatan Menteri Menteri Besar bila ia bersetuju membentuk kerajaan campuran dengan PAS dan PKR. Ia memberikan jawatan itu kepada PAS.

Ia dipercayai mampu mempertahankan kerusinya di Selangor. Sekiranya dalam pilihan raya nanti ia dapat lebih kerusi berbanding PKR dan PAS, ia tidak menuntut kerusi Menteri Besar, bahkan ia diserahkan kepada komponen Pakatan yang lain, maka ia akan dilihat oleh umum sebagai pihak yang memburu kekuasaan, tetapi lebih kepada menyertai pemerintahan.

UMNO tidak ada modal untuk mengatakan DAP mahu menjadi Perdana Menteri kitanya BN kalah dalam pilihan raya nanti kerana UMNO sudah pun mewar-warkan Anwar sebagai Perdana Menteri. Sekali pun Anwar akan dipenjara, tetapi mereka tahu kiranya BN kalah, Pakatan akan mengeluarkan Anwar dari penjara bagi mengepalai pemerintahan.

Tetapi yang UMNO ugut orang Melayu sekarang ialah DAP hendak jadi Menteri Besar Selangor dan lain-lain negeri yang DAP berpengaruh. Dengan DAP tidak meletakkan calon Melayu, maka mati hujah UMNO tentang DAP menyediakan Menteri Besarnya.

Akan tinggal satu modal saja bagi UMNO ialah PAS dan PKR jadi kuda tunggang DAP. Itulah yang dijajanya selama ini.

Apa pun Pakatan Rakyat tetap mengira peranan DAP cukup penting dalam usaha mengubah lanskap politik negara. Tindakannya tidak meletak calon Melayu buat masa ini adalah suatu yang positif.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan