Menjelang sambutan Hari Valentine atau Hari Memperingati Kekasih pada
14 Februari depan, PAS sekali lagi menyatakan pendirian mahu
menghentikan sambutan berkenaan.
Pemimpin parti itu termasuk Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin
Hassan Tantawi berkata, sambutan berkenaan mesti dihentikan kerana akan
menjadi penyebab kepada aktiviti tidak bermoral.
Bagi timbalannya, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, beliau mahu kerajaan
mempamerkan iklan anti sambutan Hari Kekasih di televisyen bagi
menghalang umat Islam daripada menyambutnya.
"Setiap tahun kita sertai pasukan pencegahan bersama pelbagai
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang lain untuk memberi kesedaran
bahawa sambutan Hari Kekasih adalah bertentangan dengan syariat Islam.
"Kita tidak mahu sambutannya menjadi amalan dikalangan orang Islam. Langkah terbaik adalah dengan menghebahkannya di televisyen.
"Pihak kerajaan begitu mudah untuk berbuat demikian kerana mereka mengawal media utama," katanya.
Tahun lalu pihak berkuasa agama telah menahan lebih seratus pasangan beragama Islam yang terlibat dalam sambutan Hari Kekasih.
Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam
Malaysia pada 2005 telah memutuskan bahawa sambutan Hari Kekasih adalah
haram bagi seluruh umat Islam.
Terdapat beberapa versi sejarah sambutan Hari Kekasih, termasuk yang
dikaitkan dengan pesta sambutan Rom kuno sebelum kedatangan agama
Kristian yang dinamakan Lupercalia, kisah mubaligh Kristian Saint
Valentine dan juga sempena musim mengawan burung pada 14 Februari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan