Polis mencadangkan agar Peguam Negara mendakwa Pengerusi Eksekutif
Pusat Fidlot Nasional (NFC) Datuk Dr Mohamed Salleh Ismail atas
pertuduhan pecah amanah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Syed
Ismail Syed Azizan berkata cadangan itu terkandung dalam kertas siasatan
yang sedang disiapkan polis, setelah dikembalikan pihak Peguam Negara
Selasa lepas bagi menyiasat beberapa perkara lain.
"Kita ada menyelitkan cadangan ini agar pihak Peguam Negara mengambil
tindakan itu. Kertas siasatan ini akan dikembalikan dalam masa
terdekat," katanya ketika dihubungi Bernama malam Sabtu.
Isu NFC, yang diterajui Mohamad Salleh, suami Menteri Pembangunan
Wanita, Keluarga dan Masyarakat, mula mendapat perhatian ramai selepas
Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lalu menyatakan pusat itu
gagal memenuhi matlamat penubuhannya.
Ia semakin panas selepas pembangkang mendakwa wujud penyelewengan
terhadap peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada
NFC.
NFC ialah projek 'Lembah Daging' di Gemas, Negeri Sembilan yang
bertujuan meningkatkan pengeluaran daging tempatan serta mengurangkan
pergantungan negara terhadap daging import.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan