Kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai Israel
seperti yang dilaporkan dalam The Wall Street Journal (WSJ) tidak
memerlukan PAS untuk membuat keputusan keluar daripada Pakatan Rakyat.
Malah, Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Abdul Samad berkata,
kenyataan tersebut tidak menjejaskan hubungan PAS dengan sekutunya,
Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
"Biasalah, perbezaan pendapat di antara parti komponen Pakatan Rakyat
adalah perkara biasa. Namun apabila melibatkan isu Palestin, kita
menyeru PKR dan DAP supaya menerima pendirian PAS.
"Saya tidak lihat kenyataan beliau memerlukan kita untuk keluar daripada Pakatan Rakyat," katanya kepada mStar Online, Rabu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan Naib
Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada Selasa yang menggesa
Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya membawa keluar
parti itu daripada pembangkang bagi memastikan perjuangan Islam yang di
dukung mereka selama ini tidak tersasar.
Menurut Khalid, Mohd Shafie tidak layak untuk mengeluarkan kenyataan
sedemikian kerana pendirian Umno terhadap pemimpin Hamas khususnya jauh
lebih teruk.
"Umno tidak pernah iktiraf pemimpin Hamas tetapi Naib Presidennya,
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah bertemu sendiri dengan Menteri
Pertahanan Israel," katanya.
Bagaimanapun, Khalid berkata, Anwar telah berjumpa dengan pemimpin
Hamas, Khalid Mash’ad yang tidak diiktiraf Umno dan Barisan Nasional
(BN).
"Saya taklah nampak pendapat Anwar itu sampai ke tahap seperti Umno
tidak iktiraf Hamas. Pendirian Anwar jauh lebih dekat dengan PAS,"
katanya.
Khalid berkata, tindakan Anwar untuk bertemu dengan Mursyidul Am PAS
bagi menjelaskan kenyataan itu merupakan satu langkah bijak.
"Saya rasa akhbar Utusan Malaysia hanya mengambil hujung kenyataan
Anwar bersama WSJ. Sebenarnya kalau nak ikutkan Anwar sebut supaya
Israel perlu iktiraf hak Palestin jika mahu kita mengiktiraf hak
wujudnya negara itu," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, isu gesaan Nik Aziz tidak perlu
diperbesarkan kerana perbezaan pendapat dalam Pakatan Rakyat adalah
perkara biasa.
"Pendirian PAS jelas bahawa dalam isu ini kita menentang kewujudan
negara Israel dan semua pihak perlu menyokong dan berpendirian yang
sama," katanya.
Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Selangor menasihatkan Mohd Shafie
Apdal supaya tidak menghasut parti itu dalam membuat teguran kepada
sekutunya.
Ketua Pemudanya, Hasbullah Mohd Ridzwan berkata, parti itu tetap
setia menjalin persepakatan bersama PKR dan DAP di dalam Pakatan Rakyat.
Malah, katanya, sebarang teguran dan nasihat dibuat secara semangat
muhibah, bertolak ansur dan setia kawan, bukannya berdasarkan ugutan
serta ancaman.
inilah namanya Paku Dulang,,,
BalasPadam