Saya menyambut baik kenyataan rasmi yang pantas dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri menafikan bahawa perbelanjaan majlispertunangan anak Dato’ Seri Najib Tun Razak pada 17 Jun 2011 lalu
dibiayai oleh wang rakyat melalui Pejabat Perdana Menteri, walaupun
dokumen dari Hotel Shangrila yang mengendalikan majlis secara jelas
menunjukkan semua urusan tempahan dan bayaran dibuat melalui Pejabat
Perdana Menteri.
Persoalan saya memohon maaf tidak timbul kerana kenyataan dua
perenggan itu hanyalah satu penafian, tanpa ada sebarang bukti atau
fakta yang boleh menafikan kesahihan dokumen atau tuduhan yang dibawa
terhadap Perdana Menteri.
Dalam suasana kepercayaan rakyat terhadap iltizam Barisan Nasional
memerangi rasuah adalah sangat rendah, penafian semata-mata tidaklah
mencukupi. Apatah lagi apabila dokumen yang dibawa menjadi bukti kukuh
bahawa Pejabat Perdana Menteri mengendalikan urusan tempahan dan bayaran
bagi majlis itu.
Oleh yang demikian, untuk membersihkan nama beliau, saya menyeru
Dato’ Seri Najib Tun Razak menjawab perkara-perkara berikut dengan
mengemukakan dokumen rasmi sebagai bukti perbelanjaan pertunangan anak
beliau tidak dibayar oleh rakyat:
Pertama, beliau perlu mengesahkan sama ada perbelanjaan yang tertera
seperti dokumen Hotel Shangrila itu adalah perbelanjaan majlis
pertunangan anak beliau;
Kedua, beliau perlu mengesahkan sama ada dokumen Banquet Event Order
(BEO) yang dikemukakan oleh saya adalah dokumen yang sah dan bukannya
palsu;
Ketiga, beliau perlu mengarahkan Pejabat Perdana Menteri mengemukakan
kepada rakyat salinan Purchase Order (dokumen tempahan) yang dihantar
kepada Hotel Shangrila untuk menentukan pihak manakah sebenarnya yang
bertanggungjawab membuat tempahan tersebut;
Keempat, beliau perlu mengarahkan Pejabat Perdana Menteri
mengemukakan rekod perakaunan dari sistem perakaunan Kerajaan Malaysia
yang merekodkan Purchase Order tersebut, bagi menentukan sama ada
tempahan direkodkan sebagai tanggungan Kerajaan Malaysia;
Kelima, beliau perlu mengarahkan Pejabat Perdana Menteri mengemukakan
kepada rakyat salinan invois yang dihantar oleh Hotel Shangrila kerana
ia boleh menjadi bukti bahawa ia dicaj kepada Perdana Menteri atas
kapasiti peribadi beliau ataupun ditanggung oleh Kerajaan Malaysia;
Keenam, beliau perlu mengarahkan Pejabat Perdana Menteri mengemukakan
rekod perakauan dari sistem perakaunan Kerajaan Malaysia yang
merekodkan invois tersebut, bagi menentukan sama ada bayaran akan dibuat
oleh Kerajaan Malaysia; dan
Ketujuh, beliau perlu mengarahkan Pejabat Perdana Menteri
mengemukakan baucer bayaran yang dibuat kepada Hotel Shangrila untuk
menentukan siapakah yang mula-mula sekali menyelesaikan tanggungan
belanja majlis tersebut; dan
Kelapan, beliau perlu mengemukakan bukti bayaran yang dibuat oleh
beliau dan keluarga beliau untuk menanggung perbelanjaan tersebut;
termasuklah salinan cek, penyata bank atau dokumen-dokumen lain dari
akaun bank peribadi beliau.
Sekiranya Perdana Menteri berjaya mengemukakan dokumen-dokumen ini
dan membuktikan tidak pernah sekalipun caj tanggungan berjumlah hampir
setengah juta itu direkodkan sebagai tanggungan Kerajaan Malaysia,
barulah rakyat Malaysia boleh berpuas hati bahawa majlis mewah untuk
pertunangan anak beliau itu tidak ditanggung rakyat Malaysia.
Jika tidak, beliau akan berdepan dengan persepsi rakyat bahawa beliau
pun tidak ubah seperti menteri-menteri lain di dalam kabinetnya yang
menggunakan wang rakyat dengan sewenang-wenangnya untuk bermewah bagi
tujuan peribadi.
MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
10 MAC 2012
Aku naik spinning gasing dgn parti reput ni. P shopping guna duit rakyat, adakan event guna duit rakyat,beli aset tetap guna duit rakyat.. Hidup deme ni ditanggung dgn duit rakyat jer kottt
BalasPadam