Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud mahu mengambil tindakan
undang-undang terhadap seorang pemegang akaun laman sosial Facebook
yang mengaitkan beliau dalam dakwaan mengenai beberapa ahli Parlimen
Pakatan Rakyat (PR) telah mempersenda dan mengejek Raja-raja Melayu
minggu lalu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam istiadat pertabalan Yang
di-Pertuan Agong ke-14, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana
Negara Rabu lalu, oleh seorang pemilik akaun laman sosial bernama Dr
Rahman Kadir.
Rahman merupakan seorang pegawai perubatan yang turut berada di tempat kejadian.
"Saya terkejut dengan dakwaan beliau yang dimuatnaik ke beberapa blog
lain. Saya akui memang ada berbual-bual tapi tidak terlalu bising dan
tidak menyentuh peribadi orang-orang tertentu," kata beliau dipetik
Harakah Daily.
Beliau yang juga Timbalan Dewan Muslimat Pas Pusat turut berkata,
tindakan saman akan diambil ke atas pemilik akaun facebook dan blog.
"Peguam saya sedang membuat kajian dan mengenal pasti blog-blog yang mensensasikan isu ini," katanya lagi.
Dakwaan itu turut mengaitkan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Naib
Presidennya, Tian Chua tetapi kedua-dua mereka telah menafikan dakwaan
mereka mempersenda dan mengejek Raja Melayu pada majlis pertabalan.
Semalam, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata,
bersedia menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk memberi penjelasan
berhubung dakwaan pemimpin pembangkang mempersenda Raja-raja Melayu
ketika istiadat pertabalan baginda.
Khalid berkata, isu yang dibangkitkan itu hanyalah isu remeh yang sengaja diperbesarkan bagi tujuan politik.
"Ia tidak sepatutnya dibangkitkan tatkala rakyat sedang bergembira
meraikan pertabalan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong yang baharu.
Justeru, jika ada keperluan, saya dengan hormat takzim menawarkan
kesediaan untuk menghadap Seri Paduka Baginda bagi memperjelas kedudukan
sebenar," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan