Firman Allah, maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan
kamu, lalu Kami membentuk rupa kamu, kemudian Kami berfirman kepada
malaikat-malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam", lalu mereka sujud
melainkan Iblis, ia tidaklah termasuk dalam golongan yang sujud. Allah
berfirman: "Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika
Aku perintahmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau
(wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari
tanah” (Surah Al-A'raaf 7:11-12).
Sukacita saya mengulangi apa yang pernah saya ucapkan sebelum ini,
bahawa kita hendaklah merdeka daripada penjajahan. Ini kerana penjajah
membawa fahaman yang berlawanan dengan ajaran Islam. Penjajah yang
membawa fahaman sekular dan kebangsaan, sedangkan fahaman ini ditolak
oleh Islam.
Sebagaimana sifat iblis yang suka menghasut manusia supaya berbuat
sesuatu yang berlawanan dengan perintah Allah. Sifat iblis ini adalah
suatu penjajahan atas manusia yang beriman, maka iblis adalah penjajah
pertama terhadap manusia. Oleh itu, kemerdekaan dari hasutan iblis
adalah wajib, dan sebagaimana kita juga wajib merdeka dari fahaman
kebangsaan dan sekular yang dibawa oleh penjajah.
Di dalam Al-Quran, seperti mana maksud ayat Surah Al-A’raaf di atas
bahawa datuk manusia yakni Adam dan Hawa pernah dihasut oleh iblis
ketika dalam syurga. Iblis menjalankan ‘penjajahan’ agar Adam dan Hawa
mengikut hasutannya memakan buah dari pokok yang dilarang oleh Allah.
Iblis melaksanakan pendekatan ‘ghurur’ dengan memujuk secara tipu daya,
kononnya apabila memakan buah larangan itu Adam dan Hawa akan kekal
selama-lamanya di dalam syurga.
Hakikatnya, pujukan iblis itu merupakan suatu penipuan ke atas
manusia yang memang ada kelemahan (lupa). Akibat pujukan dan tipu daya
iblis, lalu manusia yang lemah itu terpengaruh. Justeru itu Adam
terpengaruh. Akibatnya Adam dimurkai Allah, lalu Adam dan Hawa dihalau
keluar dari syurga dan dihumban ke dunia.
Walau pun begitu, Adam dan Iblis tetap berbeza. Adam telah mengaku
salah dan memohon keampunan dari Allah. Sementara iblis tetap engkar
untuk tunduk kepada perintah Allah, malah bersikap angkuh terhadap tuhan
yang menciptanya. Iblis juga mempersoalkan perintah Allah agar sujud
kepada Adam dengan katanya: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai
Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.”
Iblis bangga dengan sifat api yang menyala dan meruap ke atas,
sedangkan Adam dipandang hina kerana sifat tanah berada di bawah. Iblis
tidak sujud sedangkan malaikat yang dicipta dari cahaya sanggup sujud
kerana patuh perintah Allah SWT.
Inilah perbezaan besar sifat iblis dengan manusia. Atas perbezan
inilah, sewajarnya kita kena merdeka diri dan negara ini daripada sifat
iblis yang dilaknat Allah. Oleh kerana itu, semangat kesatuan di bawah
sebuah negara merdeka, Hari Malaysia yang berlaku pada 16 September 1963
sejak dulunya, (masuk 51 tahun) harus dikenang dan dijadikan landasan
bagi mengisi negara dengan nilai kemerdekaan menurut semangat Islam.
Kita hendaklah mengisinya dengan prinsip dan sistem bernegara yang
diajar oleh Islam.
Maksudnya di sini, kita tidak boleh mengisi negara ini dengan
pemikiran penjajah Inggeris yang mirip menghasut umat Islam menerima
fahaman mereka – menolak prinsip dan sistem bernegara yang diajar oleh
Islam. Sedangkan umat Islam diajar oleh Nabi Muhammad SAW agar mengisi
dan melaksana urusan negara ini berpandukan prinsip dan ajaran Islam.
Inilah amanah Allah kepada semua umat manusia tidak kira Melayu, Cina,
Inggeris mahu pun Arab.
Sesungguhnya, manusia sedia memikul amanah Allah, sebagaimana
firman-Nya (bermaksud): “Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab
amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk
memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat
menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk
memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada
padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan
manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat
perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan” (Surah Al-Ahzaab 33:72).
Di atas kesanggupan memikul amanah tersebut, sebagai umat yang
beriman tidak kira Melayu, Cina, India, mahu pun Inggeris atau Arab;
kesemuanya haruslah menjadikan dunia ini sebagai medan melaksana amanah
Allah. Medan (dunia) menuju ke akhirat. Justeru segala isi alam ini
(langit dan bumi) adalah kepunyaan Allah. Oleh itu, mana-mana pihak yang
mengambil prinsip selain apa yang diamanahkan-Nya, maka ia hendaklah
ditolak. Cara menolaknya mengikut lunas sekarang ialah jangan mengundi
mereka.
Ambillah pengajaran daripada apa yang berlaku sekarang, apabila dunia
kini sudah berubah. Lihatlah peristiwa ‘Arab Spring’ yang menyaksikan
di beberapa negara sudah menolak pemimpin dan kerajaan yang
bersengkongkol dengan Barat atau menjadi talibarut Israel. Ia berlaku di
Mesir, Tunusia, Libya, Algeria dan sekarang di Syria. Inilah hakikat
kebangkitan golongan yang ingin mengisi negara yang merdeka dengan
amanah Allah. Mereka bersedia meletak agama bagi mengisi dunia menuju
akhirat. Realiti ini sudah berlaku di Kelantan sejak 22 tahun dulu yang
kini sedang bermula pula di dunia Arab.
Semoga Allah sentiasa memberi petunjuk untuk kita terus berusaha melaksanakan amanah Allah di dunia ini.
Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat
Menteri Besar Kelantan merangkap Al-Mursyidul Am PAS.
Pulau Melaka.
29 Syawal 1433 bersamaan 16 September 2012.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan