KUALA LUMPUR 7 November: Dua peguam Perancis, William Bourdon dan
Joseph Breham mengesahkan kehadiran mereka ke Dewan Rakyat 22 November
ini untuk beri taklimat kepada Ahli Parlimen Malaysia berhubung kes
Scorpene.
Memaklumkan
perkara itu, Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah berkata, kedua-dua
peguam tersebut setuju untuk datang ke Parlimen sebagai menyambut
jemputan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertarikh 2 Oktober
2012.
Bagaimanapun, Bourdon dalam surat beliau bertarikh 29 Oktober meminta
jaminan kerajaan agar kejadian beliau dihalang dari memasuki negara ini
pada Julai 2011 tidak berulang.
“Hari ini, pejabat Ketua Pembangkang telah menghantar surat kepada
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk mendapatkan
satu jaminan bertulis supaya membenarkan peguam-peguam tersebut untuk
masuk ke negara ini tidak dihalang.
“Ini kerana Bourdon mengesahkan kehadiran dengan syarat tidak
dihalang masuk atau disingkir oleh pihak berkuasa,” jelasnya pada sidang
media di Parlimen hari ini.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri
Aziz menyatakan tiada bantahan tentang kehadiran peguam tersebut di
Parlimen.
Bourdon
dan Breham akan memberi penerangan kepada Ahli Parlimen mengenai
prosiding inkuiri di Tribunal De Grande Instance berkenaan pembelian
kapal selam Scorpene oleh Kerajaan Malaysia.
Kapal selam itu dibeli dari Direction des Construction Navales Services (DCNS), Thales dan Armaris pada 2002.
Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata, pihaknya akan cuba membawa peguam DCNS bersama pada taklimat itu nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan