Seorang kontraktor pembinaan terkejut apabila seorang pekerja warga
Pakistan menunjukkan satu objek yang dijumpai ketika menggali kolam di
depan sebuah rumah teres di Kampung Pandan di sini, Sabtu.
Kontraktor itu, yang ingin dikenali sebagai Goh, 50, berkata beliau
segera menyedari objek dibawa pekerja tersebut adalah sebutir bom lama,
dipercayai mortar.
"Dia bawa barang itu kepada saya dan kata boleh jual sebagai besi
buruk sebab berat serta boleh mendapat harga yang tinggi. Tapi saya tahu
itu bom sebab semasa kerja di Ipoh dulu, saya pernah tengok," katanya
yang menyuruh pekerja itu meletakkan bom tersebut ke tanah
perlahan-lahan sebelum menghubungi pemilik rumah berkenaan.
Chong Hoi Chun, 67, berkata beliau membeli rumah itu empat bulan
lepas dan terkejut apabila dimaklumkan bahawa ada bom dijumpai di
kawasan rumah yang dijadikan stor penyimpanan keranda.
Ketua Polis Daerah Johor Baharu (Selatan) ACP Zainuddin Yaacob mengesahkan penemuan bom itu.
"Kita telah menemui dua butir bom di tempat tersebut, dan telah
memusnahkan kedua-duanya," katanya sambil menambah pihaknya tidak tahu
berapa usia bom itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan