PAS menyifatkan tindakan Umno Kelantan memilih ulama sebagai calon
sebagai terdesak dalam menghadapi Pilihan raya Umum ke-13 pada 5 Mei
nanti.
Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz
Nik Mat, berkata jika Umno ingin meniru PAS dalam pemilihan calon yang
terdiri dari golongan ulama, mereka sepatutnya tiru semua yang mengikut
pegangan Islam.
"Umno sekarang terdesak hendak tiru PAS dengan
memilih ulama sebagai calon mereka, kalau nak tiru biarlah tiru semua
sekali, bukan separuh.
"Tetapi tidak, Umno tolak Islam tetapi
nak mengambil hati pengundi cari ulama, kenapa mereka tak pilih calon
mereka sendiri," jelasnya pada program Bicara Cinta di Kompleks
Karangkraf pagi tadi.
Katanya lagi, ulama yang dipilih Umno ini palsu apabila lebih mementing kedudukan dari ajaran Islam itu sendiri.
"Di Kelantan, kita tengok orang yang kayuh beca itu pakai jam tangan
Rolex, jenama ni mahal tapi bila kita tanya, murah je, beli di Rantau
Panjang.
"Itulah ulama yang dipilih Umno, luaran sahaja menggambarkan ulama
tapi palsu apabila ketepikan Islam," sambung beliau lagi yang juga
Mursyidul Am PAS.
Beliau yang turut bangga dengan sikap orang Cina yang tidak lagi takut dengan Islam.
"Syukur kerana orang Cina tidak lagi takut dengan Islam, ini terbukti
apabila DAP dapat bersama kita dan sanggup menggunakan logo PAS jika DAP
dihalang menggunakan logo mereka.
"Di Malaysia ini yang takut dengan Islam cuma Umno, orang Cina dah berubah tapi Melayu Umno belum berubah," tambah beliau lagi.
Tuan Guru Nik Aziz yang turut memberitahu kejayaan PAS paling besar di
Kelantan adalah dapat mengubah minda dan pemikiran rakyat terutamanya
golongan bukan Melayu dapat mengenali Islam dengan lebih dekat tanpa ada
rasa takut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan