Merujuk kenyataan Zahid semalam, kononnya ‘rampasan kuasa tidak
demokratik dan perlu terima keputusan PRU’, Solidariti Anak Muda
Malaysia (SAMM) mengingatkan Zahid Hamidi supaya jangan lupa bagaimana
dia mempertahankan rampasan kuasa Perak pada Februari 2009.Apakah rampasan kuasa di Perak itu cukup demokratik? Mengapa tidak
terima sahaja keputusan PRU12 lalu bahawa Perak dimenangi Pakatan
Rakyat?
Mengenai kebangkitan rakyat pasca PRU13, Zahid janganlah bersikap
munafik. Zahid tahu dan sengaja memutar belit isu dengan menyebut seolah
rampasan kuasa akan berlaku.
Rakyat protes bukan kerana mahu merampas kerajaan melalui jalan raya
tetapi turun kerana pilihan raya 5 Mei lalu penuh penipuan. Kemenangan
rakyat pada 5 Mei telah digelapkan maka rakyat keluar menyatakan
bantahan untuk menuntut kembali demokrasi yang dicuri.
Telah diumumkan oleh Gagasan #SuaraRakyat505 bahawa tarikh 25 Mei
dipilih sebagai acara kemuncak untuk pesta rakyat menuntut demokrasi,
manakala lokasi berhimpun adalah di depan Amcorp Mall bermula petang.
Gabungan yang disertai lebih 50 NGO ini menyasarkan j/kuasa tertinggi
SPR meletakkan jawatan segera sebagai tuntutan yang pertama dan utama.
SPR menjadi punca utama kecurangan besar PRU-13 dengan pelbagai
taktik kotor yang diatur untuk memenangkan pemerintah. Malah, kononnya
SRP direformasikan, tetapi senarai daftar undi masih tidak bersih dan
paling penting ialah apabila dakwat kekal yang dijamin tahan lebih lima
hari tidak mampu bertahan untuk 5 minit.
Kalau beginilah reformasi pilihanraya yang ditunjukkan, bukan bukan
sekadar celup jari tetapi celup kepala pun boleh menipu tetap boleh
berlaku penipuan.
Oleh demikian, semua rakyat diseru untuk bersama pada 25 Mei nanti
yang merupakan kemuncak kesinambungan belasan himpunan besar
Blackout505, dalam menyatakan protes dan bantahan terhadap kecurangan
PRU-13.
SAMM juga meminta Zahid selaku Menteri Keselamatan Dalam Negeri
jangan ulang kesilapan Hishammuddin Hussein yang asyik berpolitik
mempergunakan agensi bawah KDN untuk kepentingan politik sehingga
jenayah berleluasa.
Wahai Zahid ketahui atau tidak bahawa rumah kakak Muhiyuddin telah
dirompak dan rumah adik IGP telah dipecah masuk ketika polis sibuk
siasat Adam Adli dan Zahid sibuk mempolitikkan isu bantahan rakyat
terhadap PRU yang kotor.
Percayalah, rakyat tetap akan bangkit menuntut demokrasi. Rakyat
telah beri peluang, telah bersabar dan beri laluan untuk pilihanraya
bersih dan adil.
Malangnya rakyat dikhianat dengan penipuan pilihan raya, kemenangan
dirampas dan hak demokrasi bersuara telah ditutup rapat. Rakyat tetap
akan bangkit dan kekuatan rakyat tidak mampu dibendung, 25 Mei, Amcorp
Mall.
Badrul Hisham Shaharin/CheguBard
Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan