Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh akan menyaman PKR
termasuk pengarah strategi parti itu Mohd Rafizi Ramli yang menyebarkan
kenyataan berhubung 24 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dikurung
bagi memangkah kertas undi di Parlimen Besut dalam Pilihan Raya Umum
ke-13 (PRU-13).
"Saya sedang meneliti tuduhan mereka bersama peguam bagi memastikan
tuduhan yang boleh merosakkan imej saya selaku Anggota Parlimen Besut
itu tidak dicemarkan secara sesuka hati.
"Bila dibuat satu kenyataan awam tanpa bukti yang boleh mencemarkan
nama baik saya dan parti, sudah pasti saya akan bertindak untuk menyaman
mereka," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika
ditemui pada Majlis Kesyukuran anjuran Pusat Daerah Mengundi (PDM) Gong
Nering, yang diadakan di Kampung Gong Guchil, Jerteh di sini Jumaat.
Idris berkata, beliau tidak mengetahui dari sumber mana mereka
memperoleh berita tersebut yang disebarkan di laman sosial Facebook dan
Blog Keadilan dan didedahkan setiausaha agung PKR, Datuk Saifudin
Nasution Ismail yang dipetik dari Keadilan Daily.
"Dakwaan itu tidak berasas kerana mana boleh petugas SPR dikurung...
Mereka perlu bertanggungjawab atas setiap tuduhan yang dibuat," katanya.
Sementara itu, ketika berucap di majlis berkenaan, Idris berkata
Barisan Nasional (BN) perlu diberi peluang untuk melaksanakan
janji-janjinya yang dibuat melalui manifesto Pilihan Raya baru-baru ini
dan berharap Pakatan Rakyat tidak terus merosakkan keamanan di negara
ini hanya semata-mata untuk memenuhi cita-cita Penasihat PKR Datuk Seri
Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.
"Mungkin pada PRU13 baru-baru ini BN kalah dari segi perang siber
tetapi dalam menentukan pemerintah negara BN telah berjaya. Oleh itu
sebarang keputusan patut dihormati semua pihak," katanya.
Pada PRU13 lalu, Idris menewaskan calon PAS Riduan Mohamad Nor dengan majoriti 8,342 undi.
BAGUS JUGA SAMAN
BalasPadamBIAR TERBONGKAR