Tujuh belas anggota MCA Bahagian Gelang Patah pada Khamis meletakkan
jawatan dalam agensi pentadbiran kerajaan, berkuat kuasa serta-merta.
Pengerusinya Jason Teoh berkata mereka melibatkan tiga anggota Majlis
Perbandaran Johor Baharu Tengah, lima ketua kampung, seorang pegawai
kerajaan tempatan dan perumahan, dua pegawai kebajikan serta enam
anggota lembaga pelawat Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Sultan
Ismail.
"Keputusan peletakan jawatan itu bagi menghormati resolusi MCA yang
menetapkan tiada wakil parti itu dalam kerajaan berikutan prestasi buruk
pada pilihan raya umum baru-baru ini.
"Kami terima keputusan pilihan raya itu dan akan mengikut resolusi
tersebut. Oleh itu, saya mengetuai rakan-rakan MCA yang memegang jawatan
masing-masing untuk meletakkan jawatan secara keseluruhan," katanya
kepada pemberita, di sini.
Teoh berkata Pusat Khidmat MCA Gelang Patah bagaimanapun tidak akan ditutup dan usaha membantu masyarakat tetap diteruskan.
Susulan peletakan jawatan itu juga beliau menasihatkan penduduk di
Gelang Patah agar mengadu masalah masing-masing kepada anggota parlimen
mereka yang baharu.
"Oleh kerana ketiadaan jawatan, mungkin kami akan mengalami masalah
tertentu dan tidak secekap dahulu. Kami akan rancang cara lain untuk
mendekati penduduk Gelang Patah," katanya.
Katanya MCA Gelang Patah sudah bekerja keras dalam membantu
masyarakat dengan kebanyakan isu sudah diselesaikan walaupun ada kes
tertentu yang gagal memuaskan kehendak mereka
Tiada ulasan:
Catat Ulasan