Himpunan Black505 yang dijadualkan pada Sabtu ini ditangguhkan ke 22
Jun kerana berlaku pertindihan dengan dua program yang diadakan di
Padang Merbok, Kuala Lumpur pada tarikh asal.
Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli berkata, penundaan
perhimpunan yang sepatutnya dijadualkan pada Sabtu ini dibuat selepas
mengambil kira rayuan penganjur program lain yang terlebih dahulu
mempunyai program di lokasi dan tarikh yang sama.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak akan berlaku lagi sebarang
perubahan tarikh selepas ini walau apa jua alasan diberikan Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk melengah-lengahkan permohonan
mengadakan perhimpunan di Padang Merbok.
"Ini adalah ketetapan akhir kita. Tidak akan ada sebarang perubahan
selepas ini tidak kira apa alasan yang diberikan DBKL," katanya pada
sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Isnin.
Selain itu Mohd Rafizi yang juga Pengarah Strategi Parti Keadilan
Rakyat (PKR) berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa terdapat dua program
yang akan diadakan di padang tersebut pada Sabtu ini iaitu Karnival
Kitar Semula dan majlis perkahwinan yang telah membuat permohonan lebih
awal.
Beliau menegaskan permohonan untuk menggunakan padang tersebut pada Sabtu depan telah dikemukakan pada Jumaat lepas.
"Oleh itu, tiada lagi alasan untuk DBKL melengah-lengahkan permohonan
ini. Hormati hasrat rakyat Wilayah Persekutuan yang ingin berhimpunan
secara aman di padang tersebut.
"Kita juga dapat pengesahan bahawa semasa permohonan dibuat pada 7
Jun lalu, tidak ada mana-mana pihak yang membuat permohonan mengadakan
acara di Padang Merbok pada Sabtu depan," katanya.
Beliau berkata notis untuk mengadakan perhimpunan pada tarikh
tersebut akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada
Selasa iaitu dalam tempoh 10 hari seperti yang dituntut Polis Diraja
Malaysia (PDRM).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan