Ahli Jawatan Kuasa Kerja Pas Pusat, Khalid Abdul Samad menegaskan beliau
tidak kisah sekiranya tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti pada
pemilihan Pas, dijadualkan hujung tahun ini.
Khalid yang juga Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor berkata, beliau
tidak berhasrat menggunakan isu insiden hitam di Kota Damansara pada
PRU13 lalu sebagai kempen pemilihan itu.
“Kalau berhasrat untuk kempen pemilihan, maka adalah jauh lagi mudah
untuk saya puji dan sokong sahaja apa yang di lakukan pimpinan. Tetapi
saya tidak ambil peduli soal pemilihan parti dalam muktamar akan datang.
“Kerja saya sebagai pimpinan ialah membetulkan parti sekiranya tersilap
dan memimpin ke arah yang menguntungkan parti. Bukan sibuk jaga jawatan
dan kedudukan. Kalau tidak dipilih kali ini pun tidak mengapa. Saya
tidak kebulur jawatan pun.
Tapi sekurang-kurangnya saya sudah cuba tunaikan tanggung jawab saya
sebagai salah seorang pimpinan,” katanya dipetik menerusi blognya
http://www.khalidsamad.com/ kelmarin.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kritikan pelbagai pihak yang
dilemparkan terhadapnya susulan kenyataan beliau mengenai isu tersebut
sebelum ini.
Dalam pada itu, Khalid menegaskan, semua kenyataan beliau mengenai
insiden di Kota Damansara itu adalah berdasarkan kepada hujah dan ia
sepatutnya perlu dijawab dengan cara itu juga sekiranya ada pihak tidak
bersetuju terhadap pendiriannya.
“Yang ingin dibincangkan adalah berkenaan strategi yang silap, yang
mendatangkan natijah yang buruk serta imej Pas yang terpalit hasil
tindakan bertanding di KD (Kota Damansara), bukan soal wala’ dan thiqah,
pro PKR atau sebaliknya. Sebenarnya saya sangat pro Pas bersama PR
(Pakatan Rakyat).
“Tulisan saya tidak langsung dituju kepada mana-mana individu. Saya
lebih minat bincang apa yang silap dari siapa yang silap,” katanya.
Beliau turut menafikan tuduhan yang mengaitkannya dengan usaha untuk menjatuhkan ulama dan Presiden Pas.
“Itu satu kenyataan rambang dan tidak bertanggungjawab. Tulisan saya
tidak pernah menyalahkan sesiapa tetapi saya ingin akui tindakan
berkenaan silap dan tidak sepatutnya berlaku dan jangan sekali-kali
diulangi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan