Sememangnya setiap kerusi dibincang dan diputuskan di mesyuarat PR
Pusat. Bukan untuk Kota Damansara sahaja tetapi untuk semua kerusi yang
ditandingi. Setiap kerusi dibincang dan diagihkan di antara parti yang
terlibat berdasarkan maklumat dari Negeri yang telah diambil dari
kawasan. Oleh kerana PAS tiada pertindihan kerusi dengan DAP maka
biasanya PAS akan berunding dengan PKR sambil PKR pula akan berunding
dengan DAP berhubung kerusi majoriti bukan Melayu.
Dalam soal KD ianya telah ditandingi oleh PKR pada tahun 2008 dan Dr.
Nasir jugalah calon yang diturunkan oleh PKR. PKR menurunkan Dr. Nasir
sebagai calonnya di Kota Damansara pada 2008 dengan persetujuan
mesyuarat PR dan beliau telah menang. Semua yang terlibat dengan
mesyuarat PR mengetahui bahawa Dr. Nasir adalah dari parti PSRM pada
asalnya tetapi keluar PSRM apabila PSRM disatukan dengan PKR. Dr. Nasir
dan beberapa rakannya kemudiannya berusaha untuk mendaftarkan ‘PSM’
sejak sebelum 2008 lagi. Tanpa adanya parti sendiri maka mereka
bersetuju untuk bertanding dengan menggunakan lambang PKR. PKR pun
bersetuju untuk mengelak berlakunya tiga penjuru dan mesyuarat PR
meluluskannya.
Pada 2013 PSM telah didaftarkan. Maka pada ketika itu mereka ingin
bertanding atas lambang PSM. Perkara ini, sefaham saya, telah dibawa ke
mesyuarat PR. Keputusan mesyuarat PR pada ketika itu ialah sekiranya
mereka bertanding atas lambang PKR maka status quo akan kekal dan mereka
akan diterima sebagai calon PKR dan dengan itu calon PR. Dan ini
dipersetujui oleh wakil PAS di dalam mesyuarat tersebut yang turut
menegaskan supaya elak pertandingan tiga penjuru.
Sebaliknya, sekiranya mereka bertanding atas lambang PSM maka mereka
tidak mewakili PR. Dalam keadaan itu PKR akan bertanding juga walaupun
berlaku tiga penjuru! Yang akan bertanding melawan PSM pada ketika itu
adalah PKR bukan PAS! PAS tiada kena-mengena dengan kerusi tersebut
kerana ianya kerusi PKR. Itu yang dipersetujui oleh wakil rasmi PAS.
Berbekalkan keputusan ini maka PKR berusaha memujuk ahli PSM untuk
bertanding atas lambang PKR seperti pada 2008. Ini adalah untuk mengelak
dari berlakunya tiga penjuru yang mungkin akan menyebabkan PKR dan PR
kehilangan kerusi berkenaan. Calon PSM untuk DUN Semenyih yang
bertanding atas lambang PKR pada tahun 2008 telah menolak tawaran
tersebut. Maka PSM turun sebagai calon PSM dan oleh itu berlakulah tiga
penjuru di antara PKR, PSM dan BN di Semenyih. PKR bertanding walaupun
tiga penjuru adalah sepertimana yang diputuskan dan dipersetujui dalam
mesyuarat PR. Hasilnya BN menang di Semenyih dan PSM dianggap membantu
BN untuk mencapai kemenangan.
Di Kota Damansara, PKR berjaya memujuk Dr. Nasir untuk bertanding
dengan lambang PKR. PKR mengarahkan bakal calon PKR sendiri, iaitu Sdr
Razlan Jalaluddin seorang peguam untuk menarik diri dan beri laluan
kepada Dr. Nasir. Sdr Razlan akur dengan keputusan tersebut dan menarik
diri. Dr. Nasir seterusnya diturunkan sebagai calon PKR. PKR yakin
keadaan tiga penjuru telah dielak dan terkejut apabila didapati PAS
menurunkan calonnya untuk Kota Damansara pada pagi penamaan calon! Pada
ketika itu, dan biarlah kita bercakap ikhlas dalam soal ini, jangan
berputar-belit macam Yahudi, PAS turunkan calon menentang calon PKR
bukan calon PSM!
Wakil rasmi PAS dalam mesyuarat PR Pusat telah dihubungi. Beliau
berada di Sabah dan tidak ketahuan apa dan mengapa perkara tersebut
berlaku. Setelah dimaklumkan, beberapa hari kemudian, beliau telah turun
dari Sabah ke Kota Damansara untuk mengisytiharkan Dr. Nasir sebagai
calon rasmi PR! Malangnya ahli PAS Kota Damansara menolak pendirian
beliau sedangkan beliau adalah wakil rasmi PAS dalam soal perundingan
kerusi!
Apa yang ditulis di atas adalah apa yang saya dimaklumkan oleh wakil
rasmi PAS ke mesyuarat perundingan kerusi PR Pusat, iaitu Setiausaha
Agung PAS, Dato Mustaffa Ali. Sekiranya apa yang diceritakan adalah
benar, maka amat jelas PAS telah mungkiri janji.
Sekiranya begitu maka amat sangat malanglah keadaannya, lebih lebih
lagi sekiranya PAS ingin terus menafikan bahawa PAS telah melakukan
kesalahan dengan melanggar apa yang telah dipersetujui bersama. Soal
perjanjian dan berpegang kepadanya adalah sesuatu yang amat dipentingkan
oleh Islam. Oleh itu tindakan melanggar janji adalah satu tindakan yang
tidak boleh dibenarkan dan didiamkan. Allah berfirman di dalam
Al-Quran:
“Dan janganlah kamu jadikan perjanjian yang kamu sertai di antara
kamu (sebagai bahan mainan). Akan tergelincir kaki setelah berdiri
teguh. Dan akan kamu dilemparkan dengan kehinaan kerana kamu menjadi
penghalang kepada jalan Allah (dengan perangai buruk kamu) dan di
akhirat akan kamu menerima azab yang dahsyat.”
(An-Nahl 94)
Tindakan langgar perjanjian di dalam ayat ini di samakan Allah dengan
tindakan menghalang manusia dari jalan Allah! Kerana dilihat oleh
mereka bahawa orang Islam tidak berpegang pada janji. Maka mereka
memandang hina terhadap orang Islam dan dengan itu menjadi punca mereka
menjauhkan diri dari jalan Allah. Fikir-fikirkanlah. Tindakan tersebut
sebagai sebuah ‘Parti Islam’ mempunyai implikasi luas dan terus terhadap
tanggapan manusia mengenai Islam itu sendiri.
Untuk makluman, di peringkat Negeri Selangor, soal PAS bertanding di
kerusi Kota Damansara tidak pernah timbul walau dalam apa-apa
perbincangan. PAS Negeri dan Kawasan telah bersetuju bahawa kerusi itu
adalah milik PKR dan PAS tidak akan bertanding di situ! PAS Kawasan
Subang, iaitu kawasan di mana terdapat DUN Kota Damansara, bertemu
berkali-kali dengan PAS Negeri tetapi hanya untuk berbincang persoalan
calon Paya Jaras SAHAJA! Pendirian Negeri inilah yang diulangi di
peringkat Pusat.
Adalah merupakan kebiasaan bahawa janji dan persetujuan yang dibuat
oleh wakil rasmi sesebuah
pertubuhan adalah merupakan janji dan
persetujuan pertubuhan tersebut. Sekiranya PAS mempunyai tanggapan
berbeza, di mana janji dan persetujuan wakil rasmi yang diberi mandat
untuk mewakili PAS di dalam sesuatu perbincangan tidak mengikat PAS,
maka perlu diberitahu pada semua dari awal. Dalam ertikata lain, PAS
perlu beritahu bahawa wakil PAS boleh berjanji tetapi janji dan
persetujuan itu boleh dibatalkan dan dilanggar pada bila-bila masa
mengikut keseuaian tempat dan keadaan semasa.
Saya minta pendirian jelas dikeluarkan yang mengatakan begitu
sekiranya benar itulah sikap PAS terhadap janji dan persetujuan yang
diberi. TETAPI ketahuilah, sekiranya itulah sikap PAS maka tiada siapa
akan membuat perjanjian dengan PAS kerana janji tersebut tidak bermakna!
Dalam soal ini hujjah ‘ijtihad pemimpin’ tidak boleh diguna-pakai.
Kerana pemimpin tidak boleh berijtihad untuk melanggar perjanjian dan
persetujuan yang telah dicapai sebelumnya dengan begitu sahaja. Untuk
makluman di antara matlamat utama PR ialah untuk menentukan satu lawan
satu menentang BN. PAS telah beri komitmennya untuk mengukuhkan PR.
Tindakan bertanding di Kota Damansara bercanggah dengan apa yang dijanji
dan dipersetujui.
عَنْ عَائِشَةَ رضي الله عنها قَالَتْ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم :
“إِذَا
أَرَادَ اللَّهُ بِالأَمِيرِ خَيْراً ، جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ صِدْقٍ ، إِنْ
نَسِيَ ذَكَّرَهُ ، وَإِنْ ذَكَرَ أَعَانَهُ ، وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ
بِهِ غَيْرَ ذَلِكَ ، جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ سُوءٍ ، إِنْ نَسِيَ لَمْ
يُذَكِّرْهُ ، وَإِنْ ذَكَرَ لَمْ يُعِنْهُ”
[ رواه أبو داود والنسائي ] .
Dari Ayesyah (RA): Telah berkata Rasulullah (SAW):
Sekiranya Allah inginkan kebaikan bagi seseorang pemimpin, akan
diadakan untuknya wazir yang bersifat benar. Sekiranya dia lupa akan
diingatkannya dan sekiranya dia ingat akan dibantunya. Sekiranya
diinginkan Allah sebaliknya, maka diadakan untuknya wazir yang jahat.
Sekiranya dia lupa tidak diingatkannya dan sekiranya dia ingat, tidak
dibantunya.
(Riwayat Abu Daud dan An-Nasaii)
Biarlah ahli PAS menjadi sebagai wazir yang Siddiq yang membantu
kearah pengukuhan PR sepertimana yang diinginkan PAS. Maka apabila
pimpinan lupa, sama-sama kita ingatkan dan apabila pimpinan ingat dan
berusaha keras untuknya, sama-sama kita bantu.
Maka sekali lagi saya nyatakan, sekiranya persetujuan telah diberi
oleh wakil rasmi PASdalam mesyuarat PR bahawa PAS tidak akan bertanding
di Kota Damansara apabila PKR menurunkan calon, walaupun calon itu
adalah Dr. Nasir, maka tindakan PAS bertanding di Kota Damansara adalah
salah, bercanggah dengan akhlak jamaah Islam dan menjatuhkan imej PAS
dan Islam dikhalayak ramai.
Saksikan ya Allah bahawa saya telah tunaikan tanggung jawab saya kepada pimpinan saya!
www.khalidsamad.com
Ini kes orang muda pas gila nak jadi calon tapi bangang dalam politik...nak tuduh orang apa-apa pun perlu sediakan bukti...
BalasPadam