Kajian Merdeka Center yang mendedahkan Barisan Nasional tidak mungkin
boleh membentuk kerajaan jika bukan kerana undi pos dan undi awal tidak
mengejutkan Pakatan Rakyat.
Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli mendedahkan
PR juga telah membuat analisis sendiri dan keputusannya adalah hampir
sama.
"Kita tahu tentang ini. Kajian kami menunjukkan sekurang-kurangnya 30
kerusi parlimen dimenangi BN kerana undi pos dan undi awal," kata Ahli
Parlimen Pandan itu.
Beliau memberitahu kerajaan BN tidak boleh menafikan faktor kemenangan
mereka hanya bergantung kepada undi awal dan pos yang banyak memberi
kelebihan kepada mereka.
Kajian
dari Merdeka Center mendedahkan dua menteri kabinet MIC, Datuk Seri S
Subramaniam (Segamat) dan Datuk Seri G. Palanivel (Cameron Highlands)
akan kalah kerusi parlimen tanpa undi awal dan pos.
Ini termasuk dengan beberapa kerusi di negeri Johor dan Wilayah Persekutuan juga akan jatuh pada PR
BN hanya bergantung pada undi awal dan pos saja untuk menang di 22
kerusi parlimen, jika tidak BN hanya akan menang 111 kerusi saja iaitu
sama dengan jumlah kerusi yang dimenangi PR.
"Tiada apa yang boleh diterangkan kenapa BN mendapat lebih 80% dari
undi awal dan pos. Ia amat pasti dan seolah-olah seperti situasi komedi
kartun," kata Rafizi.
Zairil Khir Johari (gambar), anggota parlimen DAP berkata pula, kajian
tersebut membuktikan kerajaan BN tidak lagi berkuasa, hanya mendapat
manfaat dari dua undi tersebut.
"BN bukan saja tidak mendapat undi majoriti, tetapi mereka akan kalah sekiranya tiada undi awal dan pos," katanya.
Kedua-duanya menegaskan PR sentiasa membuat bantahan agar kedua-dua
jenis undi itu dimansuhkan kerana ia boleh memberi peluang kepada
ketidaktelusan dalam pengundian.
"Kedua undi tersebut mempunyai sejarah terbabit dengan penipuan," kata Zairil, yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera.
Rafizi merujuk pada laporan polis yang dibuat oleh agen pengira undi
selepas pilihanraya lalu yang mendakwa berlakunya penyelewangan dalam
proses pengiraan undi awal dan pos.
"Isunya ialah peti undi yang ditinggalkan dan dikunci oleh polis dan
pengawasan dilakukan oleh mereka dan Suruhanjaya Pilihanraya. Kami tidak
melihat peti itu selama lima hari, " katanya yang menuduh BN telah
mengeksploitasi undi tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan