PERSOALAN sama ada ‘mimpi indah’ bertemu Barcelona bakal bertukar
menjadi ‘mimpi ngeri’ hanya boleh dijawab sendiri skuad Harimau Malaya
malam ini.
Apa tidaknya, skuad The Catalan seakan-akan sudah melaungkan amaran
betapa mereka tidak akan memberi belas ihsan kepada Harimau Malaya
selepas membelasah kelab Brazil, Santos dengan kemenangan bergaya 8-0
baru-baru ini.
Kelmarin, skuad kendalian Gerard Martino juga bermaharajalela di
Stadium Rajamangala, Bangkok apabila ‘mengerjakan’ skuad Bawah 23 tahun
Thailand 7-1 hasil jaringan hatrik Pedro Rodriguez, Lionel Messi (dua
gol) manakala Neymar dan Alexis Sanchez masing-masing menyumbat satu
gol.
Kemenangan besar Barcelona dalam kedua-dua perlawanan itu jelas
memberikan isyarat awal kepada skuad kendalian Datuk K. Rajagobal yang
seolah-olah dilihat menunggu masa untuk menjadi mangsa seterusnya.
Enggan mengibarkan ‘bendera putih’ sebelum berjuang, pemain sayap
negara, Wan Zack Haikal Wan Noor sebaliknya percaya mereka mampu
memberikan cabaran terhadap The Catalan malam ini.
“Saya tidak peduli keputusan perlawanan Barcelona dalam dua perlawanan sebelum ini.
“Apa yang saya tahu, saya mahu membalas kepercayaan jurulatih (Datuk
K. Rajagobal) selepas tidak diturunkan ketika berdepan Chelsea sebelum
ini,” katanya.
Wan Zack berkata, prestasinya juga berada dalam keadaan terbaik
selepas dibelenggu kecederaan yang memaksanya berehat selama tiga bulan
ketika menjalani latihan bersama FC Ryukyu awal tahun ini.
Dalam pada itu, tonggak pertahanan negara, Aidil Zafuan Abdul Razak
juga berharap dapat meraih pengalaman berguna ketika berdepan Barcelona
malam ini.
“Saya akan memberikan yang terbaik biarpun sudah tentu ia perlawanan yang paling sukar dalam karier saya,” kata Aidil.
Seorang lagi tonggak pertahanan negara, Muhamad Fadhli Shas tidak
mahu terlampau memikirkan sama ada berkemampuan merobek gawang Barcelona
ataupun tidak seperti mana yang dilakukannya ketika berdepan Chelsea
tempoh hari.
“Jika berjaya menjaringkan gol ia dianggap bonus, namun saya tidak
akan melupakan tanggungjawab saya merantai pergerakan penyerang lawan
habis-habisan,” katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan