RAMAI yang bertanya kepada saya, benarkah Pas sedang menghadapi krisis kepimpinan yang serius?
Ada kelompok kepimpinan, kem-kem tertentu, diresapi fahaman Islam Liberal, menganut ajaran Syiah dan lain-lain.
Saya mula-mula berjinak dengan Pas sejak tahun 1985 dan secara rasmi sebagai ahli tahun 1986.
Bermula sebagai ahli biasa yang menampal poster, pasang bendera, kutip
derma masa ceramah, kawal lalu lintas dan berbagai tugasan yang
diamanahkan.
Dari ahli biasa, meniti hirarki kepimpinan sampai pada waktu ini dan
bergaul dengan macam-macam jenis manusia melalui program pentarbiahan
dan dalaman parti; hingga percampuran dengan masyarakat di luar.
Latar belakang ahli tentulah berbeza. Ada yang dulunya Umno, Al-Arqam,
Tabligh, Jim, Abim; hingga kepada penganut Tareqat dan sesetengahnya
beramal dengan ajaran yang 'pelik-pelik' yang diwarisi sebelum menyertai
Pas.
Alhamdulillah, manhaj tarbiah yang dipelolehi dari Pas atas nama Usrah,
Tamrin, Kuliah dan lain-lain dapat menyelaraskan Wehdatul Fiqh dan
Wehdatul Amal.
Namun, bezanya dalam Pas ialah keterbukaannya. Sama ada pandangan
pimpinan sendiri yang dinukilkan dalam buku-buku yang diterbitkan
seperti Tuan Guru Nik Aziz, Tuan Guru Abdul Hadi, Ustaz Fadhil Nor,
Yusof Rawa, Ustaz Yahya Osman (sekadar beberapa nama) atau Tokoh Gerakan
Islam luar, antaranya Yusof Qardhawi, Syed Qutb, Hassan Al Banna dan
lain-lain, ianya dijadikan sandaran ilmu dalam memperkasa jamaah.
Khususnya dasar perjuangan Pas yang bersesuaian dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia.
Dalam tempoh lebih 25 tahun bersama Pas, hari ini, Pas telah berada di landasan yang terbaik.
Berkembang dengan pesat, organisasi yang kian tersusun dan tentunya jumlah ahli dan penyokong jutaan orang.
Saya melaluinya sendiri dari zaman Yusof Rawa hingga ke era Tuan Guru Hadi.
Ahli Pas bebas memberi pandangan dan mengkritik parti menerusi program
dalaman, penulisan; hatta mesyuarat parti hingga ke Muktamar Tahunan
Pas.
Seperti mana Ketua Cawangan Pas ditegur dalam mesyuarat hinggalah
Presiden Pas pun turut di kritik dan di nasihati oleh AJK Pas Pusat
dalam mesyuarat bulanannya.
Selain AJK Pas Pusat, saya juga adalah anggota Lajnah Politik Pas Pusat
dan berbagai jawatankuasa lain yang ditubuhkan oleh parti.
Ahli mesyuarat bebas memberikan pandangan berasaskan tahap intelektual masing-masing.
Kehebatan berhujah adalah keistimewaan yang dimiliki termasuk Pesuruhjaya negeri-negeri.
Presiden Pas selaku Pengerusi mesyuarat sangat terbuka dalam meraikan semua pandangan.
Presiden parti tidak menggunakan kuasa Veto, akur keputusan bersama.
Saya merasai detik-detik mendebarkan dan perbincangan hangat tatkala
memutuskan kedudukan Datuk Dr Hassan Ali, polemik Kedah dan isu kerusi
Kota Damansara.
Namun, bagaimana panas sekalipun, ia tetap dalam ruang lingkup akhlak.
Maknanya, tidak benar jika ada yang menuduh sesetengah AJK Pas Pusat
bersikap kurang ajar dan tidak wala' dengan keputusan mesyuarat.
Justeru, tidak benar, hanya perbezaan pandangan dan kritikan tajam dianggap berpecah.
Pimpinan Pas kekal mantap dan dihormati kawan dan lawan.
Kebiasaannya mesyuarat dimulakan dengan usrah, selesai mesyuarat yang
kadangkala berlarutan lebih lima jam; kami makan bersama dalam suasana
santai dan penuh mesra.
Apa yang didebatkan dalam mesyuarat meskipun berbeza pandangannya, menjadi keputusan yang mesti dipatuhi.
Semangat syura yang hidup dan segar, menjadi rahsia kekuatan Pas hari ini.
Adalah tidak benar apabila muncul tuduhan-tuduhan dalam Facebook, blog
dan lain-lain, kononnya ada berbagai puak dalam parti, dakwaan tidak
wala'; apatah lagi tuduhan sesetengah pimpinan menganut fahaman
tertentu.
Jika ada aduan resmi, maka Jawatankuasa Disiplin Pas akan bicarakan dengan adil.
Sejarah pemecatan ahli dalam parti akibat kesalahan tertentu, ada dan jelas.
Saya tegaskan hal ini sebagai gambaran bahwa Pas sebenarnya sebuah
parti dan gerakan Islam yg mantap dan tentulah cabaran mengurus
organisasinya bukan mudah.
Hakikatnya, Pas lebih mantap dari Umno dan parti-parti lain di
Malaysia. Meskipun bersikap terbuka, tapi ada peraturannya; kritiklah,
tapi jangan membuat fitnah.
Melabel pemimpin tertentu hingga timbul cakap-cakap untuk jatuhkan seseorang yang tidak sehaluan adalah hak perwakilan.
Tetapi adalah menyedihkan, jika tokoh yang mahu ditolak itu adalah
berdasarkan emosi semata-mata, marah atau sebab-sebab yang tidak jelas.
Lebih malang, kalau tokoh itu sangat menyerlah, ada wibawa; tapi tidak disenangi kerana kelantangannya.
Kita sayang pada Pas, jamaah yang kita sertai berasaskan kefahaman dan
kesedaran kita, daripada menuding jari dan melabel orang, lebih baik
tumpukan pada tanggungjawab yang diamanahkan.
Tidak cukup masa kita untuk cari salah orang lain, kalau kita sibuk dengan urusan perjuangan!
Kita sebuah parti yang kukuh, ada kerajaan yang kita kuasai pemerintahannya, harapan rakyat terlalu tinggi kepada kita.
Jangan buang masa berbalah. Hentikan prasangka sesama kita. Eratkan perpaduan, perkukuh saf disemua peringkat.
Mainkan peranan masing-masing, samada berjawatan atau tidak.
Samada kita Ulama', Profesional, aktivis atau siapa pun kita; semuanya
bertanggungjawab kepada parti. Betulkan nawaitu, ikhlaskan diri kerana
ALLAH.
Teringat kata-kata Tuan Guru Abdul Hadi, 'maqam taqwa ahli biasa yang
kerjanya hanya penampal poster boleh jadi lebih tinggi dari Presiden
parti'.
Selamat Berpuasa
Mazlan Aliman
Tiada ulasan:
Catat Ulasan